fbpx
HATI Aishah amat sakit apabila mengetahui suaminya yang dikahwini selama 17 tahun menikahi rakan sendiri yang juga seorang janda. -GAMBAR HIASAN

K2

Tidak rela berkongsi kasih suami dengan rakan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKENALAN yang terjalin semenjak zaman universiti ternyata telah menimbulkan bibit-bibit cinta antara Aishah dengan suaminya. Sebaik kedua-duanya menamatkan pengajian dan masing-masing mendapat pekerjaan, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan.

“Pada ketika itu, perkahwinan saya dihalang oleh keluarga kerana saya mengambil keputusan memeluk Islam untuk berkahwin dengan suami saya.

“Saya tekad dengan keputusan saya walaupun dibuang oleh keluarga. Saya kemudian menjadi mualaf dan melangsungkan perkahwinan,” katanya kepada K2.

Rumah tangga yang dibina berdua diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata.
Namun, tiada siapa menyangka setelah lebih 17 tahun berkahwin, mahligai yang mereka bina itu dilanda badai sehingga menyaksikan Aishah dan suaminya berpisah.

Aishah menegaskan, pergaduhan kecil dalam rumah tangga menjadi asam garam sepanjang 17 tahun perkahwinan, namun mereka masih boleh menyelesaikannya dengan cara baik.

“Tetapi, semuanya berubah setelah ditakdirkan seorang rakan yang saya dan suami kenali sejak zaman universiti menjadi rakan sekerja suami saya.

“Kami sudah lama tidak berhubung antara satu sama lain setelah meninggalkan universiti dan dia ada menceritakan bahawa dirinya sendiri sebelum ini telah mengalami kegagalan dalam berumah tangga sebanyak dua kali,” katanya.

Tambahnya, rakannya pada masa itu berstatus janda.

Aishah menegaskan, dia menaruh sepenuhnya kepercayaan kepada suaminya. Sebelum ini juga suaminya itu tidak pernah curang di belakangnya.

Ada rakan-rakan lain di pejabat yang menyampaikan cerita kepada Aishah bahawa hubungan suami dan rakannya itu kelihatan amat rapat.

Mereka berdua sering menikmati makan tengah hari bersama.

Bagi Aishah, itu bukanlah satu isu yang besar kerana suaminya bersikap jujur dan memberitahu bahawa mereka kadangkala menikmati makan tengah hari berdua.

Namun sebenarnya, di belakang Aishah, suaminya itu telah menjalinkan hubungan dengan rakannya itu.

Mereka berdua juga sebenarnya telah melangsungkan perkahwinan di Thailand tanpa pengetahuan Aishah.

“Semuanya terbongkar setelah dua bulan mereka melangsungkan perkahwinan. Pada ketika itu, saya lihat ada perubahan yang berlaku pada suami saya.

“Dia sering pulang lewat dari kerja. Jika hari cuti dia memaklumkan akan mengikuti rakannya untuk keluar memancing di laut untuk dua hari,” jelasnya.

Tambah Aishah, pada pengetahuannya, suaminya itu bukanlah seorang kaki pancing tegar.

Akhirnya, rahsia yang mereka berdua simpan itu terbongkar setelah Aishah mendapat khabar angin bahawa suami dan rakannya itu telah melangsungkan perkahwinan di Thailand.

Aishah amat marah apabila mengetahui akan perihal tersebut dan bertanya akan perkara tersebut kepada suaminya.

Suaminya bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tentang hal tersebut.

 

 

ALASAN palsu keluar memancing sering diberikan suami Aishah untuk bersama isteri baharunya.- GAMBAR HIASAN

“Saya menyedari suami saya menipu akan hal itu. Saya sudah mengenalinya lama dan boleh tahu jika dia bercakap benar ataupun berbohong.

“Akhir sekali saya pergi berjumpa dengan rakan saya itu secara bersendirian dan mendesaknya untuk memberitahu perkara sebenar.

“Dia sendiri mengakui bahawa mereka telah berkahwin di Thailand,” katanya.

Aishah menjelaskan, hatinya remuk sekali apabila diperlakukan sedemikian dan dia sendiri tidak menyangka bahawa suami dan rakannya itu sanggup menikamnya dari belakang.

Akibat peristiwa tersebut, Aishah dan suaminya bergaduh besar dan disebabkan rasa marah diperlakukan sedemikian, dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya itu.

Aishah mengambil keputusan untuk membubarkan perkahwinan mereka secara fasakh kerana tidak sanggup hidup bermadu.

Setelah beberapa kali naik turun mahkamah syariah, mereka berduanya akhirnya disahkan bercerai.

Aishah menegaskan, sebenarnya dia sayang akan suaminya itu tetapi disebabkan terlalu mengikutkan rasa marah, mereka berpisah.

Masing-masing dapat menerima hakikat perpisahan itu. Walaupun mereka telah berpisah, hubungan dengan suaminya masih baik demi anak-anak mereka.

Setelah hampir setahun bercerai, suaminya itu ada menyatakan hasrat kepadanya untuk kembali bersamanya.

Rakannya atau ‘bekas madunya’ juga ada datang bertemu dengan Aishah dan seboleh-bolehnya mahu mereka bertiga kembali bersama. Wanita itu sendiri tidak kisah untuk berkongsi kasih.

“Buat masa ini saya sendiri keliru dengan kemahuan saya.

“Sebolehnya saya ingin kembali bersama dengan suami kerana sudah semakin boleh menerima hakikat untuk hidup bermadu.

“Tetapi ada ketikanya, hati berasa terlalu sakit apabila mengenangkan apa yang mereka lakukan kepada saya sebelum ini. Apapun hati manusia ini Tuhan yang pegang dan andai kata jodoh saya dengan bekas suami masih kuat, mungkin kami akan kembali bersama,” katanya.

Tambah Aishah, biarlah masa yang menentukan segalanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN