fbpx

Sokongan bertukar kecaman, nasib abang burger

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MINGGU ini, minggu yang sibuk buat netizen Malaysia. Sibuk dengan isu peniaga burger di Kota Bharu yang dikompaun RM50,000 pada Ahad lalu.

Kompaun dikeluarkan kerana peniaga itu berniaga melebihi pukul 10 malam di hadapan rumahnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Kelantan.

Yang dipersoalkan netizen, jumlah kompaun dianggap tidak munasabah dikenakan terhadap abang burger yang dianggap hanya peniaga kecil-kecilan.

Kisah ini semakin meletup apabila selebriti terkenal, Neelofa dan suami, PU Riz serta ahli keluarga pula hanya dikompaun RM60,000 pada Selasa lalu kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika melangsungkan majlis perkahwinan.

Makin meruap-ruap kemarahan netizen apabila membandingkan jumlah kompaun antara kedua-dua kes itu yang dianggap mereka antara dua darjat.

Kisah ini turut mencetuskan perdebatan pelbagai pihak, daripada rakyat biasa, golongan selebriti sehinggalah ahli-ahli politik, malah turut menarik perhatian menteri.

Isu ketidakadilan, perikemanusiaan dan rasional di sebalik tindakan yang dikenakan terhadap peniaga terbabit menjadi perdebatan antara mereka.

Sebagai tanda simpati, ramai pihak mahu membantu membayar kompaun abang burger itu termasuklah beberapa selebriti seperti Neelofa sendiri.

Semua ini hasil kerja keras netizen memperjuangkan nasib abang burger walaupun terdapat peniaga colek dan pemilik kedai runcit yang turut dikenakan kompaun RM50,000 atas kesalahan sama.

Tetapi, kes abang burger menarik perhatian netizen untuk mengecam tindakan pihak berkuasa. Namun, perjuangan netizen membela nasib peniaga itu nampaknya berubah apabila tular kisahnya yang didakwa bukannya orang susah.

Makin sibuk kerja netizen menyelongkar kehidupan peniaga itu. Habis segala hartanya ‘dilondehkan’ di media sosial termasuk memiliki kereta Honda Civic selain pernah makan hidangan wagyu yang mahal di sebuah restoran.

Kecaman terhadap pihak berkuasa kini bertukar pula kepada peniaga terbabit. Inilah bahana memuat naik gambar-gambar seolah-olah hidup mewah di media sosial. Mungkin niat untuk dijadikan sebagai kenangan, namun ia kini memakan diri. Habis diselongkar netizen.

Tidak tahan dengan kritikan, abang burger bersama isterinya menjelaskan bagaimana susahnya mereka memiliki harta itu. Mereka juga meminta netizen tidak lagi memanaskan isu tersebut.

Ironinya itulah sikap netizen dalam dunia tipu tipu media sosial, cepat melatah dan suka mengecam tanpa mengira bulan puasa atau tidak.

Harap-harap isu kompaun tidak berterusan minggu depan. Pihak berkuasa diharap lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kompaun, jangan berlaku kekhilafan.

Peniaga pula patuhilah SOP. Memang ramai marah dengan SOP yang dianggap seperti antara dua darjat, namun itu bukanlah alasan untuk kita langgar peraturan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI