fbpx

Akim kembali gerak solo, ATM tetap ‘jalan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKIM AHMAD

LIMA tahun mencipta pengaruh bersama kumpulan Akim & The Majistret (ATM), vokalis popular Akim Ahmad kini kembali bergerak solo.

Percubaan solo pemilik nama sebenar Afiq Hakim Ahmad, 30, itu bagaimanapun bukanlah bermakna dia sudah meninggalkan ATM.

Sebaliknya, penyanyi yang pernah memenangi tempat ketiga dalam program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh pada tahun 2009 hanya terbabit dalam sebuah projek lagu atau single solo.

PENYATUAN rasa bersama Stacy menjadikan Bayang sebuah lagu yang mahal nilai sentimental buat Akim.

Lagu berjudul Bayang hasil ciptaan Hang Nadim dan lirik oleh Hang Nadim, Bunga Cantik dan Arisz Ab Rahman itu memberi nafas baharu kepada muzik Akim, sekali gus menampilkan sisi berbeza sepanjang 12 tahun pembabitannya sebagai anak seni.

Menurut Akim, Bayang cukup istimewa kerana hasil cetusan idea bersama isteri tercinta juga penyanyi terkenal, Stacy.

“Lagu ini sangat berbeza berbanding single saya sebelum ini, termasuk dari segi bunyi dan muzik, juga berbeza dengan ATM.

“Muzik Bayang juga lebih banyak mengetengahkan instrumen elektronik. Malah, sangat istimewa kerana merupakan hasil cetusan idea saya bersama Stacy.

BIARPUN bukan pertama kali tampil dengan lagu solo, namun Akim menyifatkan lagu Bayang sebagai satu bentuk penyampaian berbeza dirinya dari segi muzik. 

“Disebabkan lagu Bayang menjadi projek solo, saya mahukan sesuatu yang baharu.

“Biarpun sebelum ini, saya pernah bergerak solo, tetapi kali ini saya nak tunjukkan sisi berbeza.

“Setelah lima tahun bersama ATM, mungkin peminat juga ingin melihat saya kembali sebagai Akim Ahmad, iaitu seorang penyanyi solo.

“Jadi, inilah buah tangan terbaharu untuk peminat yang rindukan Akim yang dahulu. Dalam erti kata lain, lagu Bayang merupakan satu lagi evolusi muzik dan kerjaya saya,” katanya.

Simpan

Bayang sebenarnya sudah lebih setahun terperap sebelum dirakam dan seterusnya dilancarkan.

“Lagu ini sudah ada dalam simpanan saya sejak setahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lagi.

“Stacy yang mendengar lagu ini mencadangkan agar saya rakamkan sahaja lagu ini. Tapi, saya cakap nanti dulu.

LAMA terperap, Akim akui dia mengambil sedikit masa untuk mencari keserasian dengan bunyi lagu Bayang sebelum kemudian bersetuju merakamkan single tersebut. 

“Stacy cakap lagu ini sangat sesuai dengan saya. Tapi, ketika itu saya belum lagi dapat tangkap melodi dan muzik lagu ini.

“Tidak sangka kebetulan ada projek terbaru daripada Nova Music yang memerlukan saya untuk merakam sebuah lagu secara solo. Lagu yang sesuai pun dah ada, jadi saya ambil keputusan untuk terus merakamkan Bayang. Ketika proses rakaman, Stacy yang menjaga vokal saya. Lagu ini antara kerjasama istimewa kami. Ada nilai sentimental,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu Bayang yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu, Akim berkata liriknya mengisahkan kehidupan seharian.

Menariknya, lagu Bayang dipilih menjadi satu daripada ­­­lagu tema utama drama bersiri Sabarlah Duhai Hati terbitan Suhan Movies & Trading yang ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 7 malam menerusi slot Akasia bermula 23 April lalu.

Pencipta

“Lagu ini tentang kehidupan seharian. Kita semua sentiasa hidup dengan bayang-bayang. Jadi kena sentiasa mengadu dengan Pencipta.

“Apabila dalam keadaan gembira, sedih atau apa saja, kena sentiasa mengadu kepada Pencipta. Selagi ada bayang, kena sentiasa jalankan tanggungjawab. Pendek kata, lagu ini memberi kekuatan untuk hidup.

“Satu lagi kelebihan dalam Bayang, lagu ini dipilih untuk dimainkan pada bahagian ‘opening credits’ dan ‘ending credits’ drama berkenaan,” kata Akim.

MENYEIMBANGKAN antara projek solo dan kumpulan, tiada istilah rehat atau berhenti untuk Akim & The Majistret meskipun kini Akim meluncurkan projek solo.

Ditanya tentang status ATM, Akim menegaskan kumpulan itu tetap aktif.

“Sekarang ini, kami dalam perancangan untuk mengumpul material bagi projek album. Perlukan waktu untuk cari material yang berkualiti.

“Tiada istilah ATM berhenti seketika. Baik saya muncul secara solo mahu pun bersama ATM, semua kena jalan,” katanya.

Lagu Bayang kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music. Video lirik rasmi lagu Bayang juga boleh ditonton menerusi YouTube Nova Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI