fbpx

Wanita mengamuk dijel 10 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazatul Amira dibawa polis ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini selepas bersalah melakukan pemerasan dan perbuatan khianat di sebuah kedai kosmetik, Sabtu lalu. /FOTO NUR ALINA HASSAN

TANGKAK – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan pemerasan dan perbuatan khianat, Sabtu lalu.

Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mazatul Amira Mohamad Ali, 31, gagal membayar denda atas kedua-dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga penganggur melakukan pemerasan bagi tujuan menakutkan Suhada Abd. Hamid, 28, dan Maznah Md. Rehat, 49, dengan menyatakan akan menghancurkan mereka berdua dan barang-barang kedai jika wang tidak diserahkan kepadanya.

Manakala pertuduhan kedua, Mazatul Amira didapati melakukan khianat ke atas harta kedai milik Roslinah Bahar, 47, yang menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM2,661.

Kedua-dua kesalahan dilakukan di sebuah premis perniagaan di Jalan Payamas, di sini pada pukul 4.20 petang, 24 April lalu.

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman denda sehingga tujuh tahun atau penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh mengikut Seksyen 427 kanun yang sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Mazatul Amira mengaku tidak mampu membayar denda sebelum mahkamah memutuskan hukuman penjara berjalan serentak selama 10 bulan bermula hari ini.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat dalam satu kenyataan berkata, polis menahan wanita berkenaan selepas menerima laporan kejadian amuk di sebuah premis sehingga menyebabkan kerosakan harta kedai.

Beliau berkata, dalam kejadian Sabtu lalu, Mazatul Amira telah memeras ugut dua pekerja kedai kosmetik yang juga kenalannya bagi mendapatkan wang berjumlah RM1,000.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka enggan menyerahkan wang diminta sebelum tertuduh bertindak agresif melakukan kerosakan dengan memecahkan barangan kosmetik di kedai berkenaan.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI