fbpx

Mat rempit rentas negeri diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga daripada 15 mat rempit yang ditahan dalan Ops Samseng Jalanan di LEKAS, semalam.

PETALING JAYA – Keterujaan sekumpulan 15 ‘mat rempit’ melakukan aksi tunggangan dengan laju dan berbahaya sehingga sanggup merentas negeri mengundang padah selepas kesemua mereka ditahan dalam Operasi (Ops) Samseng Jalanan di Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS), semalam.

Dalam operasi bermula pada pukul 10 malam itu telah dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, pihaknya telah mengesan kesemua penunggang motosikal terbabit melakukan aksi tunggangan berbahaya di atas jalan raya.

“Kesemua 15 individu tersebut terdiri daripada tiga kumpulan dan didapati dengan jelas melakukan aksi berbahaya seperti menundukkan badan serta bersaing sesama sendiri.

“Mereka telah ditahan secara berasingan di sebuah restoran di sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan siasatan mendapati kesemua penunggang berusia 18 hingga 34 tahun itu datang dari Kuala Lumpur untuk makan di sebuah restoran di Seremban,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, polis turut mengambil tindakan menyita kesemua motosikal jenis Yamaha 15ZR, Yamaha 135LC dan Yamaha 125Z yang digunakan mereka ketika melakukan aksi berbahaya tersebut.

Kesemua tangkapan telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan BSPT IPD Seremban untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis juga akan mengambil tindakan kompaun terhadap kesemua penunggang motosikal terbabit atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI