fbpx

RISDA, FELCRA agih dividen RM189.08 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin (tengah) bersama Abd. Latiff (kiri) pada majlis penyampaian dividen RISDA dan FELCRA di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bersama FELCRA Berhad (FELCRA) bakal memeriahkan sambutan Aidilfitri kali ini dengan mengumumkan pembayaran dividen bersama sebanyak RM189.08 juta.

Agihan dividen tersebut akan diberikan kepada 31,245 pekebun kecil RISDA dan 58,826 peserta FELCRA.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, RISDA menawarkan dividen berjumlah RM82.03 juta kepada penerima seluruh negara melalui Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK).

Menurut beliau, dividen sebanyak RM38.17 juta akan dibayar kepada 16,080 peserta RTBB manakala seramai 15,165 peserta TSK pula akan menerima peruntukan dividen sebanyak RM43.86 juta.

“RISDA turut menyampaikan agihan zakat korporat agensi itu berjumlah RM2.48 juta untuk diagihkan kepada 4,000 asnaf dan institusi agama.

“Antara institusi yang menerima sumbangan zakat korporat itu termasuklah Masjid Haji Muhammad Yassin, Masjid Kampung Olak Sepam di Pagoh, Masjid Sultan Mahmud di Kuala Lipis serta Surau Al-Mukmin di Ampang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Dividen RISDA dan FELCRA yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri 2 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong.

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut mengumumkan bayaran agihan akhir lebihan keuntungan projek FELCRA bagi tahun 2020 berjumlah RM107.053 juta.

Menurut Abd. Latiff, bayaran berkenaan yang dibuat secara berperingkat bermula semalam akan memberi manfaat kepada 58,826 orang peserta FELCRA seluruh negara.

“Bayaran akhir lebihan keuntungan tahun 2020 itu melengkapkan amalan pembayaran keuntungan sebanyak tiga kali setahun iaitu pada bulan Ogos, Disember dan April setelah akaun projek ditutup.

“FELCRA berjaya mencatatkan keseluruhan keuntungan boleh diagih dengan nilai agihan sebanyak RM204.5 juta pada tahun 2020 merangkumi pembayaran semasa Interim Pertama Ogos lalu sebanyak RM40.7 juta,” katanya.

Jelas beliau, sebanyak RM56.7 juta turut dibayar semasa interim kedua manakala sejumlah RM85.5 juta lagi dibayar bagi agihan akhir 2020 selain agihan keuntungan terkini sebanyak RM21.4 juta.

“Agihan akhir lebihan keuntungan 2020 merupakan hasil daripada keuntungan bersih 890 projek ladang-ladang milik peserta yang dimajukan oleh FELCRA.

“Bakinya iaitu sebanyak 327 projek terdiri daripada projek belum berhasil seperti masih dalam fasa tanaman semula. FELCRA bertanggungjawab menguruskan kira-kira 1,217 projek seluruh negara,” katanya.

Jelasnya lagi, pembayaran dividen berkenaan diharap dapat meningkatkan keupayaan ekonomi pekebun RISDA dan peserta FELCRA lebih-lebih lagi ketika menjelangnya perayaan Aidilfitri.

“Susulan itu, semua pembayaran kepada pekebun kecil Risda akan dibuat melalui kiriman cek secara pos bermula 27 April,” ujarnya.

Sementara itu, FELCRA mendedahkan agensi itu turut terkesan dengan penularan Covid-19 berikutan berdepan masalah kekurangan tenaga kerja mahir bagi menuai dan memungut hasil sawit di ladang.

“FELCRA juga komited menyediakan sekurang-kurangnya 1,000 peluang pekerjaan sebagai operator penuaian dengan tawaran gaji asas setanding pasaran bagi menarik minat orang ramai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI