fbpx

Nama Najib tiada dalam laporan polis Khairuddin – Habibi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Habibi Majinji ketika keluar dari Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, bekas Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tidak menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak atau mana-mana individu dalam laporan polis yang dibuatnya mengaitkan kepincangan pentadbiran kewangan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Habibi Majinji, 46, berkata, Khairuddin sebaliknya mahukan pihak polis membuat siasatan menyeluruh terhadap kakitangan, pegawai, personaliti dan mana-mana syarikat yang terlibat dalam urusniaga yang meragukan dengan 1MDB.

Beliau yang kini berjawatan ACP Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berkata demikian ketika diminta merujuk laporan polis yang dibuat oleh Khairuddin pada 12 Disember 2014 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Habibi merupakan pegawai polis yang menandatangani permohonan pelanjutan penahanan Khairuddin selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes saman Khairuddin selaku plaintif terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan enam lagi berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah SOSMA.

Ketika ditanya oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin, Habibi bersetuju laporan itu dibuat berdasarkan laporan media dalam dan luar negara serta blog yang
mendakwa berlaku kepincangan dalam sistem peminjaman dan perbelanjaan dana 1MDB.

Plaintif dalam laporan itu mendakwa setakat bulan Mac 2014, 1MDB memikul bebanan hutang berjumlah RM41.9 bilion yang boleh membawa kepada risiko kebangkrapan.

Menjawab soalan Mohamed Haniff  pada sesi pemeriksaan balas, Habibi yang merupakan saksi pihak defendan bersetuju bahawa siasatan awal turut dilakukan terhadap laporan tersebut.

Ujar Habibi, isu 1MDB turut menarik perhatian Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail sehingga beliau menubuhkan satu jawatan kuasa khas bagi menjalankan siasatan tanpa merujuk kepada mana-mana pihak.

Habibi bersetuju dengan soalan Mohamed Haniff bahawa bekas Perdana Menteri sebaliknya `melompat’ dengan menyatakan tuduhan terhadap beliau berniat jahat dan liar untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan keyakinan luar terhadap ekonomi Malaysia.

Menjawab soalan lain peguam, Habibi berkata beliau tidak mengetahui terdapat gangguan dalam proses siasatan berhubung laporan polis yang dibuat oleh Khairuddin.

Ketika ditanya oleh Mohamed Haniff, Habibi bersetuju Khairuddin sangsi dengan ketelusan siasatan itu menyebabkannya ke luar negara agar pihak berkuasa negara Eropah mengambil tindakan terhadap laporannya.

Turut dinamakan sebagai defendan-defendan dalam saman itu ialah Asisten Suprintendan Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Suprintendan C. Muniandy, Suprintendan Habibi Majinji dan Khalid
yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga kelapan ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud; Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Mohamed Apandi dan Kerajaan Malaysia.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM5.23 juta, ganti rugi teladan sebanyak RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM1 juta, ganti rugi teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon bersambung pada tarikh lain yang akan ditetapkan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI