fbpx

Kakitangan, pesara kerajaan Melaka akhirnya dapat ‘duit raya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

MELAKA – Kerajaan negeri hari ini mengumumkan akan memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji atau minima RM1,000 kepada penjawat awam dan RM250 buat pesara kerajaan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, ‘duit raya’ itu akan diberikan kepada 5,169 penjawat awam termasuk kakitangan kontrak dan pekerja petugas harian (PSH).

Katanya, bantuan khas itu akan diberikan pada 6 Mei ini bersama-sama pembayaran gaji penjawat awam atau sebelum raya bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Keputusan ini dibuat setelah memperhalusi kebolehupayaan kerajaan negeri dan seikhlasnya yang boleh diberikan kepada penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang kepada kerajaan yang memerintah.

“Syukur Alhamdulillah ia melegakan saya dan barisan Pengerusi Jawatankuasa,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zaidi Johari.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, pemberian bantuan khas itu juga adalah bukti kerajaan negeri prihatin terhadap nasib rakyat Melaka khususnya penjawat awam yang turut terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Semoga pemberian ini dapat memberikan motivasi dan komitmen penjawat awam di negeri ini,” katanya.

Pada Ahad lalu, Sulaiman memaklumkan kerajaan negeri tidak dapat memberikan bantuan khas kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri seperti yang diumumkan oleh kerajaan pusat pada 22 April lalu.

Beliau menjelaskan keadaan itu disebabkan kedudukan kewangan negeri yang terus menyusut atas pelbagai faktor disebabkan pandemik Covid-19, termasuklah kekurangan kemasukan pelaburan asing. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI