fbpx

Pintu diumpil, tempat duduk ‘lesap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar daripada video tular di laman sosial berhubung keadaan kereta Proton Saga yang diumpil di Taman Alor Vista, George Town, 20 April lalu.

GEORGE TOWN – Malang nasib seorang pemilik kereta Proton Saga apabila aksesori termasuk dua tempat duduk hadapan dan belakang kenderaannya lesap semasa diletakkan di lorong tepi Jalan Lebuh Relau, Taman Alor Vista di sini 20 April lalu.

Mangsa lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan menyedari kejadian tersebut berlaku ketika sistem penggera keretanya tidak berbunyi semasa hendak membuka pintu.

Lelaki yang bekerja sebagai operator kilang itu juga kemu­diannya mendapati kesan umpil pada pintu di bahagian kiri kereta, manakala wayar sistem penggera telah dipotong.

Paling mengejutkan apabila tempat duduk jenama Sparco di kedua-dua bahagian kiri dan kanan serta kerusi belakang dipercayai telah dilarikan pencuri bersama sistem audio android.

Kereta berwarna hitam itu diparkir di luar pagar perumahan flat berkenaan di laluan kecil berdekatan kawasan hutan dan sungai berhampiran.

Lokasi berkenaan juga tidak mempunyai sebarang lampu jalan dan dijadikan sebagai tempat meletak kenderaan oleh penduduk perumahan di situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berlaku pada 21 April lalu di Balai Polis Sungai Nibong.

Menurutnya, pengadu mengatakan yang dia telah meletakkan keretanya dalam keadaan berkunci di lokasi tersebut pada pukul 7 malam 18 April lalu.

“Kejadian disedarinya selepas dua hari kemudian (20 April) pada pukul 9.30 malam ketika pengadu mahu menggunakan keretanya itu.

“Pengadu mendakwa dia me­ngalami kerugian lebih kurang RM6,000,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, hasil siasatan polis mendapati lokasi berkenaan adalah kawasan bebas dan tidak dilengkapi dengan sistem televisyen litar tertutup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI