fbpx

Pasangan suami isteri dera pelajar tahfiz dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AMPANG JAYA – Sepasang suami isteri ditahan polis selepas didakwa terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak di sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penahanan pasangan suami isteri yang juga merupakan pemilik pusat tahfiz berkenaan dibuat selepas menerima laporan daripada bapa salah seorang mangsa.

“Pada 23 April lalu, bapa kepada salah seorang pelajar tahfiz telah pergi ke pusat berkenaan untuk membayar yuran dan berjumpa dengan anak lelakinya yang berusia berusia lapan tahun.

“Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, lelaki berkenaan kemudian mendapati anaknya berada dalam keadaan takut dan menangis sambil memeluknya sebelum memberitahu tidak mahu bersekolah di situ lagi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, bapa mangsa kemudian membawa balik anaknya ke rumah selepas berbuka puasa dan kanak-kanak itu memberitahu bahawa suspek ada menumbuk belakang tengkuknya serta memukul dengan rotan pada tangan serta kaki.

“Suspek kedua (isteri) pula didakwa telah menampar pipi kanak-kanak berkenaan sebanyak empat kali. Susulan pendedahan itu, bapa mangsa kemudiannya telah melaporkan kejadian kepada pihak polis.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak polis seterusnya menahan kedua-dua suspek di pusat tahfiz terbabit kira-kira pukul 3.45 petang semalam dan turut menyelamatkan lapan pelajar lelaki berusia 7 hingga 15 tahun yang turut mendakwa telah didera,” ujar beliau.

Tambah beliau, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut dan pemeriksaan pada mangsa berusia 7 tahun 6 bulan tadi telah menemui kesan kecederaan baru serta lama pada keseluruhan badannya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI