Khairuddin

Khairuddin berhak dapat ganti rugi – peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan merupakan pencetus kepada pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membawa kepada kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurut pernyataan pembukaan yang dibacakan oleh peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Khairuddin merupakan individu yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember 2014 dan 15 Januari 2015 sehingga terbentuknya satu jawatan kuasa khas yang dianggotai oleh empat individu penting dalam negara bagi menyiasat laporan itu.

Namun demikian, tiada tindakan efektif yang diambil walaupun negara ketika itu digemparkan dengan pemecatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan pengkhianatan seorang individu yang menyebabkan usaha pendedahan skandal 1MDB terbantut.

Pernyataan itu selanjutnya menyatakan, Khairuddin yang juga bekas Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH) kemudian ke Eropah untuk melaporkan isu tersebut dalam bidang kuasa syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan 1MDB di England, Perancis dan Switzerland.

Menurut pernyataan itu, akibat usaha Khairuddin, Malaysia melihat tindakan susulan diambil oleh pihak-pihak penguat kuasa negara-negara lain seperti Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS), England, Switzerland, Luxemborg dan Singapura sehingga pihak-pihak berkenaan dibawa ke mahkamah.

Ujar kenyataan tersebut, sekembalinya dari luar negara, Khairuddin telah ditahan pada 18 September 2015 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sebelum memperolehi perintah pembebasan pada 18 November 2015.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan sabotaj pada perkhidmatan perbankan dan kewangan negara sebelum dibebaskan pada 12 Mei 2017.

Secara keseluruhan, Khairuddin selaku plaintif dalam tuntutan samannya telah ditahan selama 60 hari di Penjara Sungai Buloh.

Sehubungan itu, Mohamed Haniff menyatakan Khairuddin berhak mendapat taksiran ganti rugi yang melambangkan kesalahan tahanan dan pendakwaan curang yang bukan sahaja melanggar undang-undang malah bercanggah dengan Perlembagaan.

Sementara itu, Mohamed Haniff ketika memberi keterangan selaku saksi kedua plaintif menyatakan, anak guamnya masih berhutang bayaran guaman sebanyak RM795,000 melibatkan semua perkhidmatan guaman yang diberikan ketika mengendalikan kesnya.

Menurutnya, Khairuddin telah dimaklumkan keseluruhan bayaran guaman yang dikenakan dan jumlah itu telah dikurangkan dengan mengambil kira kedudukan ekonomi plaintif yang kehilangan pendapatan akibat tahanan salah.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes saman Khairuddin terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan enam lagi berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah SOSMA.

Turut dinamakan sebagai defendan-defendan ialah Asisten Suprintendan Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Suprintendan C. Muniandy, Suprintendan Habibi Majinji dan Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga kelapan ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud; Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Mohamed Apandi dan Kerajaan Malaysia.

Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM5.23 juta, ganti rugi teladan sebanyak RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM1 juta, ganti rugi teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon bersambung esok.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN