fbpx

Hazama, isteri belum putus asa soal zuriat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAZAMA

HAZAMA satu nama yang cukup dikenali dalam persada seni suara tanah air. Kehebatan vokalnya juga tidak perlu dinafikan.

Lebih 10 tahun dalam industri, langkah seninya tidak terhenti. Langkah terus disusun bagi memastikan kerjaya seninya terus kekal relevan lebih-lebih lagi dalam mendepani pandemik Covid-19.

Usai menjuarai Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) pada 2011, nama Hazama mula menjadi sebutan menerusi single perdananya, Pokok.

LEBIH sedekad bergelumang dalam industri hiburan tanah air, Hazama masih kekal relevan sehingga kini. 

Bermula daripada situ jugalah, rezekinya mencurah-curah termasuk rezeki bekerjasama dengan beberapa nama besar.

Tidak terhenti di situ, bakatnya dalam bidang lakonan turut dikesan dan digilap sutradara Ahmad Idham yang menjadi individu pertama mempelawa Hazama menjadi pelakon.

Kebiasaannya drama atau telefilem menjadi batu asas bagi seseorang pelakon mengasah bakat, namun rezeki buat pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi, 37, ini sedikit berbeza.

Manakan tidak, belum setahun jagung berada dalam industri seni, namanya sudah dipilih untuk menggalas tanggungjawab menjayakan sebuah filem aksi berjudul, Apa Celop Toqq.

SELAIN nyanyian, Hazama kini juga sedang sibuk dengan bidang lakonan.

Kesungguhan berterusan yang ditunjukkan membuatkan banyak rumah produksi dan sutradara tanpa gusar melamar anak jati kelahiran Changkat Jering, Perak itu untuk terus berkarya.

Kesemua cabang seni yang dipelopori Hazama dipegang kemas hinggalah namanya banyak tercalon dalam beberapa kategori bagi anugerah berprestij negara.

“Alhamdulillah. Begitu pantas masa berlalu. Kalau ikutkan sejak 2006 lagi saya mula memberanikan diri dan mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

“Tetapi pada awalnya rezeki tidak menyebelahi. Namun dek semangat yang langsung tidak pernah luntur apatah lagi putus asa, saya terus mencuba hinggalah sekarang,” ungkapnya sebagai mukadimah kata kepada HibGlam.

Album penuh, rapper

Masih mengekalkan genre sama iaitu pop rock sebagai pilihan yang sebati dengan jiwa, Hazama kini sibuk mengumpul material untuk buah tangan terbaharunya berupa album studio.

Akui Hazama, persediaan penghasilan album baharu sudah hampir 50 peratus siap dengan dua daripada enam buah lagu sudah selesai dirakamkan.

HAZAMA bakal hadir dengan sebuah album penuh tahun hadapan sebagai buah tangan terbaharu buat peminat setianya.

Menariknya untuk buah tangan terbaharu nanti, beberapa buah lagu bakal mempersembahkan kolaboratifnya bersama rapper terkenal.

“Insya-Allah untuk album penuh ini, saya rancang untuk selitkan beberapa kelainan tetapi mengekalkan konsep rock.

“Jika tiada aral melintang, satu atau dua lagu akan menampilkan rapper seperti Tuju atau Noki daripada kumpulan K-Clique,” katanya.

SELAIN lakonan dan nyanyian, Hazama berjinak-jinak menjalankan perniagaan asam laksa sebagai sumber pendapatan sampingan.

Ada apa dengan rapper, Hazama memberitahu dia mahukan satu kelainan memandangkan muzik masa kini lebih terarah ke jalur sedemikian.

Menyambung kata, pelantun lagu popular Relakan Jiwa itu mengakui rezekinya dalam bidang lakonan juga dimurahkan Allah walaupun negara masih bergelut melawan pandemik.

Kongsinya, selain baharu sahaja selesai penggambaran drama bertajuk Potong terbitan Astro Warna, dia juga bakal kembali ke set untuk sebuah telefilem raya dalam masa terdekat.

Belum masa

Menelusuri perjalanan lebih empat tahun mengemudikan bahtera perkahwinan bersama pengarah muzik, Genervie Kam, Hazama juga seperti mana-mana lelaki bergelar suami.

Selain bahagia bersama isteri tercinta, dia masih menantikan kehadiran zuriat sebagai pengikat kasih sayang. Namun, aturan Allah melangkaui setiap perancangan manusia.

LIMA tahun mendirikan rumah tangga, namun rezeki belum berpihak buat Hazama dan isteri dalam soal kurniaan zuriat sebagai penyeri hidup mereka.

Bagi Hazama, walaupun belum dikurniakan cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga, dia dan isteri tetap tidak berputus asa.

Hazama percaya rezeki untuk dikurniakan anak mungkin belum kunjung dengan izin Allah SWT.

“Saya dan isteri bersyukur atas segala rezeki yang dikurniakan. Kami juga berserah kepada qada dan qadar.

“Mungkin ada sebabnya. Mungkin Allah tahu dan mengerti yang saya dan isteri masih belum bersedia menggalas tanggungjawab serta amanah sebagai ibu bapa.

PERANCANGAN Tuhan jauh lebih baik, Hazama percaya rezeki untuk menimang cahaya mata akan tiba pada saat yang tepat.

“Mungkin saat tibanya masa yang betul-betul tepat dan sesuai, baru Allah hadiahkan kami zuriat,” tuturnya penuh harapan.

Tambah Hazama, pelbagai usaha pernah dan telah dilakukan dia dan isteri untuk mendapatkan zuriat termasuk memikirkan rawatan persenyawaan in vitro (IVF), namun rezeki belum memihak kepada mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI