fbpx

Kebenaran pekerja Malaysia di Singapura pulang beraya diteliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Izhar (tengah) melakukan 'flag off' program Ziarah Kasih Kasih Sempena Ihya Ramadan MPUNJ, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kelonggaran untuk membenarkan pekerja Malaysia di Singapura yang telah diberi vaksin untuk pulang bagi menyambut perayaan Aidilfitri sedang dibincangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, kelonggaran itu termasuklah dengan menyediakan pas laluan hijau khas buat mereka yang terlibat.

“Ya, ini adalah antara perkara yang hendak disusun, pekerja yang terlibat dan telah selamat divaksin mungkin kita akan beri ‘special green lane pass’ untuk mereka.

“Perkara ini kita kena duduk berunding dan perhalusi dalam kategori kluster yang patut dan boleh diberi kelonggaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Program Ziarah Kasih Sempena Ihya Ramadan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) di pejabat mereka, di sini hari ini.

Mohd. Izhar berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan kelonggaran diberi terhadap pekerja Malaysia yang telah divaksin di Singapura untuk pulang bagi menyambut Aidilfitri.

Tambah beliau, keperluan vaksinasi merupakan antara syarat yang dipersetujui Malaysia dan Singapura dalam rundingan untuk membuka pintu sempadan, oleh itu Johor akan mengikutinya.

“Kita diminta agar semua rakyat divaksin, jadi Johor akan mengambil langkah proaktif untuk segerakan proses vaksinasi bagi membolehkan kebenaran persetujuan pembukaan pintu sempadan dengan Singapura tercapai,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu pemimpin tertinggi kedua-dua negara bakal mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong dijangka mengadakan perbincangan berkenaan pembukaan sempadan awal bulan depan,” katanya lagi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI