fbpx

Terengganu bakal miliki hab e-Sukan bertaraf dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INDUSTRI e-Sukan semakin mendapat tempat bahkan berkembang pesat dalam kalangan generasi muda di Terengganu. – TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

TERENGGANU mahu mengorak langkah ke hadapan dalam memacu industri sukan elektro­nik di negeri ini apabila kerajaan negeri bersedia mewujudkan kemudahan bertaraf dunia menerusi penubuhan hab e-Sukan di Kompleks Gong Badak tidak lama lagi.

Presiden e-Sukan Malaysia Terengganu (ESMT), Ahmad Shahrul Nizam Ab. Ghani amat mengalu-alukan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan projek bernilai RM5 juta itu yang akan menjadi salah satu teras dalam Pelan Strategik e-Sukan Terengganu 2021/2026 untuk melonjakkan ESMT ke peringkat global.

Menurutnya, jika projek e-Sukan tersebut mendapat kelulusan, maka pembangunannya akan berada di bawah peruntukan Rancangan Malaysia (RMK) Ke-12 yang secara tidak langsung dapat menambah nilai komersial e-Sukan di Terengganu.

“Ada empat aspek dalam pelan strategik tersebut iaitu melahirkan atlet bertaraf dunia, memperkasakan persatuan e-Sukan di setiap daerah, pengurusan data dan hab e-Sukan.

“Selain atlet profesional, ESMT juga mahu melahirkan lebih ramai ‘streamer’ atau ‘YouTuber’ ke peringkat lebih tinggi pada masa depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

INDUSTRI e-Sukan semakin mendapat tempat bahkan berkembang pesat dalam kalangan generasi muda di Terengganu. – TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

Shahrul Nizam berkata, buat masa ini seramai 27 atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu berkampung di Pusat Latihan e-Sukan Sukan Malaysia (Sukma) negeri di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

Jelasnya, pusat latihan itu menerima suntikan dana RM110,000 iaitu RM70,000 daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan RM40,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, peruntukan tersebut meliputi dua fasa iaitu membabitkan pembelian peralatan dan ubah suai pusat latihan ber­kenaan sebelum penubuhan hab e-Sukan yang lebih lengkap.

Selain itu, program pencarian bakat baharu akan terus diran­cakkan bagi mencari lebih ramai atlet sebelum senarai akhir 16 orang terpilih ke Sukma 2022.
Sebanyak lima pingat emas menjadi rebutan di Johor dengan tiga daripadanya menerusi acara Pro Evolution Soccer (PES), Mobile Legend (ML) dan Defenceof the Ancients (Dota).

SHAHRUL NIZAM 

“Terengganu berada di landasan terbaik kerana mendapat sokongan padu kerajaan negeri dan komuniti ‘kaki game’.

“ESMT menyasarkan dua pi­ngat emas di Sukma selain tambahan dua lagi pingat emas sebagai bonus,” tambah Shahrul Nizam.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah memberitahu, projek itu meliputi penyediaan pusat latihan, pusat komuniti belia, pejabat dan arena pertandingan.

“Fasiliti serba lengkap akan meningkatkan keupayaan komuniti e-Sukan di negeri ini sekali gus dapat menganjurkan pertandingan antarabangsa.

“Hab e-Sukan ini secara tidak langsung akan melahirkan lebih ramai pemain berkualiti untuk mewakili negeri pada Sukma,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI