fbpx

Rezeki seberang laut Ijam Majid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELUM cukup terkenal dalam kalangan peminat tempatan, namun Ijam bersyukur kerana lagunya berjaya memikat hati pendengar negara seberang. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

SEJAK beberapa tahun ini, jarang sekali mendengar lagu penyanyi Malaysia berjaya membolosi pasaran negara seberang Indonesia.

Namun, itulah yang dinamakan rezeki apabila single kedua milik penyanyi Ijam Majid berjudul Permainanmu berjaya menembusi pasaran republik tersebut sekitar tahun lalu.

Lebih membanggakan, lagu yang dilancarkan pada pertengahan tahun lalu tersebut turut menduduki beberapa carta lagu di beberapa provinsi di negara berkenaan.

BELUM cukup terkenal dalam kalangan peminat tempatan, namun Ijam bersyukur kerana lagunya berjaya memikat hati pendengar negara seberang. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Dua Insan

Tidak terhenti di situ, susulan sambutan hebat yang diterimanya, ramai peminat khususnya dari Indonesia kerap meminta buah tangan terbaharu daripada anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Enggan menghampakan permintaan peminat, Ijam menghadiahkan single ketiga berjudul Dua Insan pada Mac lalu.

“Alhamdulillah. Walaupun masih baru, lagu ini diterima baik peminat Indonesia. Memang tidak sangka kejayaan diterima berterusan selepas lagu Permainanmu.

“Antara faktor lain yang menyebabkan Dua Insan diterima baik di sana ialah kerana muziknya kedengaran tidak ubah seperti karya mereka.

“Apabila dapat sambutan, saya memang teruja dan lebih bersemangat untuk hasilkan lebih banyak karya berkualiti selepas ini,” katanya ketika bertemu dalam sesi fotografi.

Bercerita lanjut mengenai lagu berkenaan, Ijam memberitahu naskhah yang merupakan ciptaan sepenuhnya dirinya tersebut berkisarkan tentang kisah seorang wanita yang curang dan bercinta dengan rakan karib pasangannya sendiri.

“Mesejnya sangat mudah difahami dan harapnya peminat di Malaysia juga akan menerima baik lagu ini juga,” katanya yang kini aktif mempromosikan single tersebut dalam media sosial.

BIARPUN belum tercapai, namun Ijam tidak mengalah mengejar angan untuk menjalin kerjasama dengan Ella suatu hari nanti.

Rujukan

Dalam pada itu, pemilik nama penuh Mohd. Norhizam Abdul Majid itu mengakui, dia menjadikan karya-karya kreatif dari Indonesia sebagai rujukan dalam penghasilan lagu-lagunya.

“Saya sangat suka mendengar lagu-lagu daripada kumpulan Kotak dan Radja. Muzik mereka berlainan dan sangat dekat dengan jiwa saya.

“Saya suka dengan cara penyampaian mereka. Malah mesej yang disampaikan juga bagus sangat. Mereka kreatif dalam setiap lagu,” tuturnya yang memasang impian untuk merakam lagu duet bersama Ella.

Bagaimanapun kata Ijam, setakat ini dia masih belum dapat merealisasikan impian tersebut.

“Mungkin sebab impian saya terlalu tinggi. Saya tetap mengagumi artis-artis tanah air. Cuma belum berpeluang lagi untuk berduet dengan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI