fbpx

Eskapisme realiti Sophia Zuhri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOPHIA ZUHRI

SOPHIA Zuhri. Sepotong nama yang masih asing dan belum dikenali dalam industri seni tanah air.

Demi mengenali penyanyi itu, lima minit diluangkan untuk mendengar single terbaharunya berjudul Game of Charades semata-mata mahu mencipta kemesraan di telinga.

Tiada jeritan bingit dan liriknya sarat dengan mesej tentang kehidupan. Itu deskripsi yang dapat diungkapkan secara ringkas tentang lagu berkenaan.

Ironi, nukilan hebat tersebut merupakan hasil kreativiti Sophia sendiri.

SEBAGAI introduksi, Sophia mempertaruhkan single debut berbahasa Inggeris berjudul Game of Charades.

Game of Charades

Lagu bahasa Inggeris yang dilancarkan bawah label Wake The Baby Records pada akhir Mac lalu tersebut merupakan single debut Sophia dan turut mendapat sentuhan komposer terkenal, Ajai.

“Lagu yang saya cipta ini berkisarkan tentang cara individu membina keyakinan dan bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan identiti yang dimiliki.

“Liriknya sangat bermakna dan turut menyelitkan kepayahan yang saya lalui sepanjang zaman persekolahan. Semuanya berkisar tentang kehidupan saya sebelum ini,” tuturnya kepada HibGlam baru-baru ini.

Mengharapkan sinar, pemilik nama lengkap Aein Sophia Mohd. Zuhri itu meletakkan segunung harapan agar ‘bayi’ pertamanya dapat diterima peminat.

“Sejujurnya perasaan teruja yang saya alami bercampur dengan rasa gementar untuk lagu ini.

“Tidak sabar untuk mendengar respons para pendengar!” ujarnya yang dijangka akan muncul dengan sebuah album mini sekitar Ogos depan.

PEMERHATIAN sekeliling dan pengalaman dilalui diri sendiri menjadi inspirasi paling utama buat Sophia bagi mencetuskan idea menulis lagu.
– ihsan Wake The Baby Records

Keghairahan menulis lirik

Berkongsi tentang bidang penulisan lagu, penyanyi muda itu yang kini menetap di London sejak berusia 11 tahun berkata, bakatnya mula diasah ketika dia masih kecil. Sangat hijau iaitu ketika berusia 14 tahun.

“Selalunya saya akan menulis mengenai sesuatu situasi atau keadaan yang menyentuh perasaan. Sama ada pengalaman yang dilalui sendiri atau pemerhatian perkara di sekeliling.

“Tanpa sedar, saya mula memetik ukulele, menulis melodi dan seterusnya menyanyikan lagu tersebut menerusi rakaman telefon bimbit,” ceritanya.

Ditanya lanjut mengenai bakat tersebut, penyanyi berusia 17 tahun itu berkata, kelebihan menulis lagu diwarisi daripada neneknya yang merupakan seorang guru bahasa Inggeris.

“Ketika berusia 14 tahun, saya belajar menulis lagu. Sejak detik itu, saya sedar perkara tersebut memberi peluang untuk diri ini meluahkan segala rasa yang terpendam dalam hati.

“Bagi saya, muzik seperti satu medium atau platform eskapisme dari dunia realiti buat seketika. Dalam tempoh sama, saya mulai sedar bahawa keghairahan dalam bidang muzik yang sebenarnya telah melayarkan saya sehingga ke sini,” katanya yang memasang impian untuk berkolaborasi bersama Blxst, SZA dan Yuna suatu hari nanti.

MULA menetap di kota London sejak berusia 11 tahun, sambutan Ramadan tahun ini tiada yang istimewa bagi Sophia dan diraikan sederhana olehnya.

Ramadan di London

Berkongsi tentang sambutan Ramadan di London, Sophia memberitahu tiada perkara menarik yang dilaluinya sepanjang bulan mulia ini.

“Tiada sambutan dan persiapan istimewa di sini. Saya duduk di dalam sekolah berasrama, jadi pihak sekolah menyediakan makanan sahur untuk pelajar beragama Islam.

“Cuma ada juga perkara yang menyentuh hati apabila ibu menghantar bungkusan istimewa kepada saya. Dia mengirimkan bungkusan yang berisi kurma dan makanan ringan. Bersyukur sangat rasanya!

“Untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, saya tidak dapat pulang ke Malaysia. Sebab pada waktu itu, London bukan dalam tempoh musim cuti persekolahan,” katanya seraya mengakhiri perbualan.

LAGU bahasa Inggeris yang dilancarkan bawah label Wake The Baby Records pada akhir Mac lalu tersebut merupakan single debut Sophia dan turut mendapat sentuhan komposer terkenal, Ajai.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI