fbpx

Bank Islam bakal disenarai bulan Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bank Islam bakal muncul sebagai satu-sa­tunya institusi kewangan Islam penuh yang disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang Ogos ini, selepas proses penstrukturan semula syarikat induknya, BIMB Holdings Bhd. (BHB) selesai sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, proses penstrukturan semula BHB berjalan lancar dan kini dianggarkan pada kadar sekitar 20 peratus.

Menurut beliau, pihaknya te­lah pun berjaya melalui fasa pa­ling sukar dalam proses tersebut, iaitu mendapatkan persetujuan daripada Kementerian Kewa­ngan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan pemegang saham serta pemegang waran.

“Kini terbitan saham baharu Bank Islam yang menjana RM800 juta akan digunakan untuk membayar sukuk tertunggak BHB, yang dianggarkan bernilai antara RM920 juta dan RM960 juta selain menyelesaikan waran tertunggak berjumlah RM162 juta.

“Bank Islam kemudiannya akan mengambil alih semua anak-anak syarikat BHB, kecuali Takaful Malaysia dan pemilikan saham BHB akan ditukar kepada saham Bank Islam pada nisbah 1:1.

“Pemegang saham BHB akan turut menerima saham Takaful Malaysia, dianggarkan pada nisbah satu saham Takaful Malaysia bagi setiap empat saham BHB, tertakluk kepada nilai pasaran.

“Selepas semua ini selesai, Bank Islam akan disenaraikan di Bursa Malaysia menggantikan BHB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung kemajuan proses penstrukturan semula BHB di sini semalam.

Menurut Mohd. Muazzam, berdasarkan pengiraan pakar, pemegang saham BHB dijangka memperoleh lebih nilai selepas proses penstrukturan itu selesai kelak.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, tentang perancangan lima tahun Bank Islam menjelang 2025, iaitu LEAP 25 yang mana antaranya adalah untuk mencapai saiz aset melebihi RM100 bilion.
Institusi kewangan berkenaan turut menyasarkan untuk menurunkan kadar kos kepada pendapatannya kepada bawah 50 peratus, selain mengekalkan pulangan atas ekuiti yang tinggi, melebihi 15 peratus.

“Selepas ini, kami akan mengetengahkan lebih banyak produk dan perkhidmatan baharu sama ada melalui cawa­ngan atau kaedah digital serta memperkenalkan lebih banyak produk terkhusus untuk pelbagai segmen berbeza mengikut peringkat umur, pekerjaan dan sebagainya.

“Hal ini memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk mendapatkan produk dan per­khidmatan yang lebih bersesuaian dengan kehendak masing-masing,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI