fbpx
HANNAH tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai penghantar makanan walaupun panas terik dan hujan lebat dengan menaiki basikal di Chukai di sini baru-baru ini.

Cucu bekas MB kerja Food Panda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN – Siapa sangka seorang remaja perempuan yang sering dilihat mengayuh basikal untuk menghantar pesanan makanan di sekitar Chukai di sini rupa-rupanya cucu bekas Menteri Besar Terengganu ke-11, Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad.

Meskipun boleh memilih jalan hidup yang selesa, Wan Nabihah Hannah Wan Abdul Hakim, 19, sanggup berhujan dan berpanas mengayuh basikal sejauh 18 kilometer sehari untuk menghantar makanan yang dipesan pelanggan semata-mata mencari pengalaman dan memanfaatkan cuti semesternya.

Anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim yang lebih mesra dipanggil Hannah itu membe­ritahu dia yang menuntut jurusan Asasi Perniagaan di sebuah kolej swasta memilih kerjaya tersebut berikutan tidak terikat dengan masa.

“Saya mula bekerja sebagai penghantar pesanan makanan ini sejak bulan Februari lalu. Sebelum itu, saya mencari kerja yang perlu bertugas enam hari seminggu dan boleh mengikut masa saya sendiri sesuai dengan status saya sebagai pelajar.

“Bekerja dengan Food Panda membolehkan saya memilih hari dan tempoh masa untuk bekerja. Biasanya saya bekerja menghantar pesanan makanan tiga kali seminggu dengan empat bagi setiap syif,” katanya kepada K­osmo! di sini semalam.

WAN NABIHAH HANNAH

Hannah berkata, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM500 sebulan yang disimpan sebagai tabungan dan pelaburan untuk masa depan.

Ditanya mengapa memilih untuk berbasikal, Hannah memberitahu itu pilihan yang dia ada memandangkan masih belum memiliki lesen motosikal.

Hannah memberitahu, dia mampu menghantar lebih 10 pesanan sehari dan terpaksa berteduh di kedai atau jejambat berhampiran sekiranya hujan ketika menghantar pesanan makanan.

Menurutnya, dia tidak merasa malu dan kekok berbasikal ketika menghantar pesanan makanan malah berpuas hati apabila pesanan pelanggannya dapat disempurnakan. -K! ONLINE