fbpx
FLICK akan meninggalkan Bayern Munich pada penghujung musim ini.

Flick dedah akan tinggalkan Bayern pada hujung musim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH – Ketua jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick mengesahkan sudah membuat keputusan untuk meletak jawatan pada penghujung musim selepas membantu pasukan menamatkan saingan Bundesliga musim ini.

Pengumuman yang dilakukan Flick itu dibuat selepas menyaksikan skuad The Bavaria menang 3-2 ke atas Wolfsburg kelmarin sekali gus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu saingan Bundesliga dengan 69 mata ketika ini.

Sebagai rekod, Flick membimbing Bayern pada November 2019 sebelum berjaya membantu pasukan itu mencatat sejarah gemilang menjulang enam trofi iaitu Bundesliga, Piala Jerman, Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah, Piala Super Jerman dan Piala Kelab Dunia tahun lalu.

Kata Flick, pengesahan itu sudah dibuat kepada barisan pemain di bilik persalinan sejurus selepas tamat perlawanan tetapi pengumuman lebih awal dibuat kepada pihak pengurusan tertinggi selepas tamat saingan Liga Juara-Juara kepada Paris Saint-Germain (PSG), Rabu lepas.

“Saya sudah katakan keputusan untuk meletakkan jawatan selepas tamat saingan musim ini adalah sesuatu yang berat untuk dilakukan. Namun, inilah yang terbaik buat semua pihak dan saya ucapkan terima kasih buat barisan pemain,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol utama Bayern, Manuel Neuer mengakui semua rakan sepasukannya cukup beremosi selepas mendapat berita daripada Flick bahawa tidak akan lagi bersama pasukan musim depan.

“Dia (Flick) telah memberikan kekuatan buat pasukan dengan peningkatan prestasi sepanjang hampir dua tahun bersama. Ia adalah keputusan yang menyedihkan tetapi inilah lumrah bola sepak yang perlu kami hadapi,” katanya. – AGENSI

POPULAR