fbpx

Elly Mazlein naik geram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELLY MAZLEIN

RAMADAN tahun ini menjadi fasa paling bahagia buat penyanyi dan pengacara Elly Mazlein apabila kembali beroleh rezeki untuk hamil buat kali kedua pada usia 41 tahun.

Tidak disangka rezeki kembali menimang anak hadir selepas hampir setahun mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Azlan Che Nuh.

“Alhamdulillah, kandungan sudah mencecah tiga bulan. Hampir setahun berkahwin, rezeki hamil merupakan hadiah terindah buat kami sekeluarga,” kata Elly membuka bicara.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi menjelaskan, dia tidak dapat melupakan riak wajah gembira suaminya selepas mendapat tahu tentang kehamilannya.

Umum tahu, pengacara program Muzikal Lawak Superstar 2 itu pernah mengalami keguguran sekitar September tahun lalu.

“Saya pernah mengalami keguguran tahun lalu ketika kandungan hampir sebulan. Saya menangis dan meraung kerana terlalu sedih. Sudah lama saya tidak meraung sebegitu, suami pujuk dan dia langsung tidak memberi tekanan untuk segera hamil lagi.

“Melihat kesabarannya membuatkan saya bertambah sayang. Jadi, apabila saya beritahu hamil sekali lagi, dia sangat gembira. Sebab itu, saya tahu betapa sukarnya untuk mendapatkan anak lebih-lebih lagi ketika umur seperti saya, berbeza dengan suami dia masih muda,” tutur Elly.

ELLY MAZLEIN sering diselubungi kebimbangan pada peringkat awal kehamilan kerana pernah mengalami keguguran pada tahun lalu. – FAISOL MUSTAFA

Jelas Elly, sejak berkahwin dengan Azlam pada 18 Januari 2020, mereka tidak merancang atau meletakkan tekanan dalam soal zuriat.

Biarpun sudah memiliki anak pertama, Putri Sara Sefhia yang kini berusia lima tahun hasil perkahwinan terdahulunya, sebagai wanita dan isteri, Elly mengambil inisiatif berjumpa doktor untuk menilai tahap kesihatan dan kesuburannya.

“Saya ke hospital untuk menilai tahap kesihatan dan kesuburan, kadangkala wanita susah hamil kerana faktor usia dan masalah lain.

“Jadi, saya sarankan buat mereka yang telah berkahwin, jika selepas enam bulan masih tiada tanda-tanda hamil pergilah ke hospital buat pemeriksaan kesihatan. Memang berbunyi terlalu awal, tetapi terdapat banyak masalah kesihatan wanita yang perlukan rawatan bertahun-tahun sebelum boleh hamil,” kongsinya.

Sungguhpun hamil pada usia yang agak lewat, Elly tidak pernah melakukan proses rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF), rawatan permanian beradas (IUI) atau menerima sebarang suntikan untuk tujuan kesuburan.

Sebaliknya, kehamilannya berlaku secara alami.

SEPANJANG Ramadan Elly akan menumpukan perhatian terhadap keluarganya, selain masih bekerja seperti biasa.

Kongsi tip kehamilan

Sejak mengumuman status kehamilannya baru-baru ini, Elly juga terkejut apabila ramai wanita meminta tip untuk hamil daripadanya.

Memahami perasaan ramai pasangan sudah berkahwin mendambakan cahaya mata, Elly berasa terpanggil untuk membantu mereka dengan berkongsi sedikit panduan.

“Saya menerima banyak mesej daripada wanita yang inginkan tip kehamilan.

“Rupa-rupanya ramai orang yang sudah lama kahwin, ada yang sudah 10 tahun berumah tangga tetapi tiada anak. Saya sangat memahami kesukaran dan cabaran yang dialami mereka.

“Sudah tentu rezeki anak daripada Allah, tetapi sebagai hambanya kita diminta untuk berusaha selain berdoa. Jadi, saya berkongsi tentang makanan tambahan atau vitamin yang saya amalkan.

“Saya bukanlah duta atau ada kaitan dengan produk berkenaan, tetapi hanya dalam tempoh sebulan diamalkan terbukti berkesan dan saya hamil.

“Walaupun sedar tips yang saya kongsikan akan memberi keuntungan dan publisiti percuma kepada pengeluar produk tersebut saya tidak kisah. Niat saya hanya ingin membantu pasangan berkahwin mendapatkan anak,” luahnya.

Sedar dirinya bukan doktor mahupun pakar perubatan dalam soal kesuburan wanita, Elly yang popular dengan panggilan Kak Lina Pom Pom itu berharap tips yang dikongsikan dapat memberi manfaat kepada mana-mana wanita yang mahu menimang cahaya mata selain mengumpul pahala asbab berkongsi ilmu.

“Saya memanglah bukan pakar dan doktor, cuma mahu berkongsi tips dan amalan untuk mendapat kehamilan kedua ini.

“Bagi saya berkongsi ilmu bermanfaat adalah perkara yang baik, tambahan ilmu tersebut dapat membantu orang lain.

HAMIL kali kedua ini, Elly sering mengidam makanan Jepun, sushi dan mengalami alahan terhadap bawang merah serta bawang putih yang dimasak.

“Sebagai wanita yang sudah memiliki anak, saya tahu betapa indahnya pengalaman dan perasaan hamil, bersalin serta menjadi seorang ibu,” tegasnya.

Penyanyi yang baru sahaja mengeluarkan single terbaharu berjudul Dusta Cinta itu, berkongsi tips kehamilan menerusi Instagramnya.

Nekad mahu membantu golongan wanita yang inginkan zuriat, Elly tidak kisah untuk bersiaran secara langsung selama dua hingga tiga jam untuk menjawab segala pertanyaan pengikutnya.

“Segala soalan yang diajukan, saya akan jawab sebaik mungkin dan tapis bahasa kerana siaran langsung dalam Instagram boleh di tonton semua orang.

“Jika boleh saya mahu bersemuka dengan wanita yang mempunyai masalah mendapatkan anak. Lebih privasi, menjaga aib dan boleh berkongsi informasi secara lebih terperinci.

“Namun, disebabkan pandemik Covid-19 buat masa ini saya mampu berkongsi di platform digital sahaja,” ujarnya lagi.

ANAK sulung Elly, Sefhia inginkan seorang adik perempuan, tetapi Elly dan suami tidak kisah akan jantina anak dalam kandungannya, memadai jika dilahirkan dalam keadaan sihat dan sempurna sifat.

Geram dikecam

Niat Elly bagaimanapun mendapat penerimaan berbeza. Terdapat juga segelintir netizen mempertikaikan usahanya dan mudah melontarkan kecaman.

“Saya geram apabila ada segelintir netizen mula mengecam saya selepas buat perkongsian tip kehamilan dalam Instagram.menganbd

“Mungkin yang mengecam itu tidak mempunyai masalah kesuburan dan sudah memiliki anak ramai.

“Nasib kita tidak sama ada yang mudah dapat anak dan ada yang sukar. Jika tiada perkara baik yang ingin dikatakan, lebih baik diam dan doakan untuk mereka yang tidak memiliki anak supaya dikurniakan zuriat,” ujarnya yang sering mengidam makanan Jepun, sushi dan ubi rebus sepanjang hamil kali ini.

Meskipun hamil sepanjang Ramadan Elly masih bekerja seperti biasa. Malah, jadual kerjanya sudah penuh sehingga bulan Ogos depan.

ELLY kini muncul dengan program masakan, Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom yang bersiaran menerusi TV1.

Program masakan

“Saya sudah berhenti mengambil tawaran kerja baharu. Misi saya cuma mahu menyelesaikan semua tawaran yang sudah diterima dan ingin berehat bermula September sebelum bersalin pada November.

“Jika diikutkan badan, memanglah mahu berehat, tetapi apabila bekerja saya terlupa sedang hamil. Disebabkan ingin memberikan yang terbaik dan selalu lincah di atas pentas, orang sekeliling pula yang bimbang.

“Bagaimanapun, saya syukur semua pihak amat memahami dan tidak ada masalah untuk bekerja dengan keadaan berbadan dua,” kongsi Elly.

Menyambung cerita tentang kariernya, Elly kini muncul dengan program masakan terbaharu berjudul Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom yang bersiaran sepanjang bulan Ramadan pada pukul 12.30 tengah hari menerusi TV1.

Menurutnya, program masakan tersebut cukup menarik kerana telah membawa dirinya menjelajah ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak selain ditemani oleh 22 orang artis jemputan.

“Program ini mengambil masa lebih sebulan untuk penggambaran.

“Cuma agak mencabar kerana penggambaran dilakukan ketika musim negara dikenakan Perintah Kawalan Pengerakan (PKP).

“Namun, semuanya berjalan dengan lancar dan menu-menu yang ditampilkan dalam program masakan ini cukup ringkas dan senang untuk disediakan oleh penonton,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI