fbpx
SARAH menunjukkan ikan yang telah siap disiang dan dibersihkan untuk dijadikan pekasam. – SHAHIR NOORDIN

Ikan pekasam, kering pembuka selera Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IKAN pekasam dan ikan kering sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk di negeri-negeri di utara terutama setiap kali tiba bulan Ramadan.

Bagi peminat juadah tersebut, mereka pasti menyediakan stok makanan tersebut untuk dihidangkan semasa bersahur, dan tidak kurang juga yang menghidangkannya semasa berbuka puasa.

Biasanya, ikan pekasam dan ikan kering yang terdiri daripada ikan lampam, puyu, sepat, gelama, talang dan kembung akan digoreng garing sebelum ditabur dengan bawang goreng dan cili padi yang dipotong kecil.

Rasanya yang masam dan masin menjadi pembuka selera, sehingga mampu membuatkan peminatnya menambah nasi.

Bagi peniaga ikan pekasam, Sarah Hussain, 38, dari Kampung Bukit Murai, Mukim Padang Pusing, Pendang, Kedah berkata, dia mendapat permintaan yang tinggi sepanjang Ramadan, namun ia kurang rancak pada tahun lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

 

IKAN yang telah digaul dengan ramuan sedia untuk diperam.

“Pada Ramadan tahun lalu, saya hanya mampu memasarkan 500 kilogram (kg) ikan pekasam berbanding Ramadan sebelumnya iaitu 1,000 kg.

“Ramadan ini, saya jangkakan dapat memasarkan kira-kira 1,000 kilogram memandangkan suasana perniagaan semakin pulih,” katanya ketika ditemui di kedai ikan pekasamnya di Kampung Bukit Murai baru-baru ini.

Katanya pemegang Ijazah Komunikasi dari Universiti Malaya itu, selain dibeli oleh pelanggan, ikan pekasam hasil air tangannya yang diwarisi dari ibunya, Som Saad, 72, juga dibeli secara borong oleh peniaga bazar Ramadan.

“Alhamdulillah, tahun ini belian secara borong meningkat kembali kerana peniaga boleh berniaga di bazar Ramadan,” ujarnya.

Ujar Sarah, dia turut mempelbagaikan lagi jenis pekasam sesuai dengan selera masyarakat hari ini.

“Selepas mengambil alih perniagaan ini daripada ibu sejak 2015, saya turut menghasilkan pekasam daging dan telur sotong.

“Sambutannya sangat menggalakkan kerana ramai yang ingin mencubanya dan kini ia turut mendapat sambutan daripada golongan muda,” ujarnya.

 

IKAN-IKAN yang telah dibersihkan akan digaul dengan ramuan seperti beras bakar dan garam.

Jelasnya, dia menerima tempahan bukan sahaja di Kedah, malah dari seluruh negara dan Singapura.

“Hasil maklum balas daripada pelanggan, mereka inginkan sesuatu yang mempunyai kelainan sesuai dengan citarasa semasa,” katanya.
Sarah pada masa sama berharap industri perniagaan ikan pekasam akan kembali rancak selepas ini.

Sementara itu, pengusaha ikan kering atau ikan masin, Azmi Hussin, 61, dari Kampung Hilir Tandop, Mukim Kubang Rotan di Alor Setar pula berkata, permintaan ikan masin menjelang Ramadan sangat tinggi.

Katanya, masyarakat kadang kala mahu mengubah selera dengan tidak hanya menikmati juadah berasaskan daging dan ayam sahaja sepanjang Ramadan.

“Justeru, tidak hairanlah ikan kering menjadi pembuka selera, apatah lagi baunya yang sungguh menyelerakan ketika digoreng.

“Ikan kering ini bukan sahaja diminati oleh golongan yang berusia, malah turut digemari kalangan remaja dan kanak-kanak untuk menjamu selera,” katanya.

Menurutnya lagi, ikan kering yang paling digemari ialah gelama, ikan talang padi, kembung dan kebasi.

SARAH bersama produk pekasam yang diusahakannya di Kampung Bukit Murai, Pendang, Kedah.

 

“Saya akan tingkatkan penghasilan ikan masin ini sepanjang Januari hingga Mac kerana tangkapan pada masa itu banyak disebabkan keadaan laut lebih selamat dan tidak bergelora.

“Penghasilan ikan kering ini dibantu oleh isteri saya, Fatimah Dali, 59, serta anak-anak yang untuk membekalkan ikan kepada pemborong serta peruncit sehingga mampu memperoleh antara RM600 hingga RM800 sehari sebelum pandemik Covid-19.

“Semasa Covid-19 tahun lalu, kami hanya mampu menjual RM200 hingga RM300 sehari dan berharap Ramadan kali ini akan memberi sinar baharu kepada perniagaan ikan masin ini,” kata bapa kepada empat anak itu.

Ujarnya, Ramadan kali ini dia menjangkakan jualan lebih RM800 sehari.

AZMI (kiri) bersama isterinya, Fatimah menunjukkan pelbagai ikan kering yang diusahakan mereka di Kubang Rotan, Kedah.

 

Menurut Azmi, kebanyakkan pelanggannya terdiri daripada masyarakat Melayu dan mereka sangat berpuas hati dengan proses membuat ikan masin yang dilakukan kerana perut ikan dibuang terlebih dahulu sebelum dijemur.

“Ikan juga akan dijemur di tempat tinggi yang mana proses tersebut boleh dilihat sendiri pelanggan yang datang,” jelasnya.

Tambahnya, ikan masin menjadi pilihan pelanggan di kala mereka kurang berselera ketika bersahur.

“Aroma ikan masin ketika digoreng sahaja sudah mampu meningkatkan selera makan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN