fbpx

Barkoba ‘beg hitam’ tular, 18 Puasa Mamat Khalid raih RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem 18 puasa berjaya mengutip RM1 juta dalam masa tiga hari tayangan di Astro First.

PETALING JAYA – Impak watak tular Barkoba, filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan sutradara tersohor Mamat Khalid berjaya meraih kutipan RM1 juta hanya dalam tempoh 3 hari sejak mula ditayangkan 15 April lalu menerusi Astro First.

Watak Barkoba lakonan Bell Ngasri dilihat tular menerusi hasil ‘meme’ bertebaran dalam media sosial sejak awal Ramadan berikutan karakternya yang tidak berpuasa dan sinonim dengan gelaran geng ‘beg hitam’.

Mamat Khalid dalam satu kenyataannya, bersyukur dengan sambutan penonton terhadap filem tersebut.

“Alhamdulillah filem ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton. Saya harap filem ini bukan sahaja mampu memberi hiburan semata-mata, tetapi turut memberi pengajaran serta mengingatkan semasa kita tentang kesan baik buruk daripada kelakuan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya yakin ramai yang menantikan kehadiran filem tersebut.

“Apabila watak Barkoba telah tular dalam media sosial, membuktikan karakter tersebut sangat kuat dan sinonim dengan penonton ketika bulan Ramadan.

“Dalam media sosial juga menyaksikan rata-rata penonton serta pengkritik filem bebas berkongsi respons positif mengenai filem ini. Kami berharap kejayaan ini akan menjadi permulaan yang baik untuk filem ini terus mendapat sokongan daripada penonton di luar sana,” kata Raja Jastina.

Naskhah 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang yang masih melakukan kemungkaran pada bulan Ramadan.

Ketika lelaki bernama Barkoba menikmati makanan pada siang hari di dalam sebuah belukar, tiba-tiba berlaku satu insiden apabila didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Barkoba mengabaikan zakat, menganiayai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.

Filem 18 Puasa Di Kampung Pisang merupakan gabungan daripada dua karya Mamat Khalid, iaitu Kampong Pisang dan 16 & 17 Puasa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI