fbpx

Jalan baharu mudahkan urusan penduduk kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tiga dari kanan) bersama penduduk Kampung Chuat membuat tinjauan jalan yang dinaiktaraf disiapkan.

BERA – Pembinaan jalan baharu dari Kampung Chuat ke Kampung Bukit Imam Sulong memberikan makna yang besar khususnya kepada masyarakat orang Asli yang menetap di kampung Chuat sejak sekian lama.

Malah pembinaan jalan berkenaan turut memberikan manfaat kepada penduduk kampung berhampiran termasuk kampung Melayu yang menggunakan jalan itu untuk berulang alik melakukan urusan seharian.

Batin Kampung Chuat, Pigi Amau berkata, pembinaan jalan baharu bagi menggantikan jalan lama yang telah rosak itu sememangnya memberikan keselesaan dan kemudahan kepada kira-kira 200 penduduk di kampung berkenaan.

Katanya, selain memudahkan penduduk berulang alik ke bandar atau menghantar anak-anak ke sekolah, ia juga dapat meningkatkan ekonomi penduduk khususnya dalam memasarkan hasil pertanian.

“Jalan lama yang berusia lebih 20 tahun itu memang agak teruk dan kita berterima kasih kepada kerajaan dengan pembinaan jalan baharu ini.

“Malah sejak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Ahli Parlimen memang pelbagai kemudahan disediakan berterusan kepada masyarakat Orang Asli,”katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Chuat, Bujok Jepon, 67, berkata, dia gembira melihat perubahan besar yang berlaku di kampung itu yang menyaksikan masyarakat Orang Asli turut menikmati pembangunan negara.

Dia memberitahu keadaan jalan di situ kira-kira 40 tahun dahulu amat teruk sehingga memakan masa hampir tiga jam perjalanan daripada jalan besar ke kawasan kampung.

“Dulu jalan kecil dan berbukit tetapi kini ada jalan baik diturap yang memakan masa kira-kira 20 minit ke jalan besar.

“Pelbagai kemudahan turut ada seperti elektrik, padang permainan dan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), semenjak Datuk (Ismail Sabri Yaakob) menjadi menteri, di sini ada cahaya,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Batin Pahang, Norya Abas berkata, pembinaan kemudahan jalan utama melibatkan 212 buah kampung Orang Asli di Pahang telah dilakukan secara berterusan oleh kerajaan.

Bagaimanapun katanya beliau berharap usaha menaiktaraf jalan-jalan ke kampung orang Asli termasuklah ke Pos Lenjang dan sebagainya dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI