fbpx

Didakwa hijrah ikut-ikutan, Nabil tak gusar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABIL AHMAD

BENAR kata orang, hidayah Allah boleh kunjung tiba pada bila-bila masa dan hinggap ke mana-mana hati tatkala sudah tiba masanya.

Itu yang dilalui pengacara dan pelawak Nabil Ahmad setelah memilih untuk berhijrah ke arah kebaikan dan mendekatkan diri dengan agama.

Mungkin ramai yang mengatakan perubahan yang berlaku ke atas dirinya terlalu drastik. Tidak kurang juga yang melabelkan Nabil berbuat demikian hanya untuk mengikut jejak orang lain dan bersifat sementara.

Bagi Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 38, dia tidak kisah dengan mulut-mulut yang berkata sedemikian asalkan dia tahu apa yang sedang dikerjakan.

“Saya sendiri pun tidak sangka sebenarnya. Apa yang boleh dikatakan, saya lebih tenang dengan apa jua yang saya lakukan ketika ini.

“Saya buat untuk diri sendiri sahaja. Terpulang kepada mana-mana pihak untuk terima atau sebaliknya. Hidayah Allah milik semua,” tuturnya membuka bicara bersama HibGlam.

Jelas Nabil, penghijrahan yang berlaku ke atas dirinya kini diterima baik keluarga, isteri, rakan-rakan terdekat dan beberapa pihak yang terlibat dengan kerjaya serta perniagaannya.

Menurutnya lagi, segala ilmu yang ditimba dan dipelajari sewaktu menyertai jemaah tabligh membuatkan dirinya lebih menghargai dan bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Tuhan.

“Apabila Allah berkehendak, semua perkara akan jadi. Tak kisahlah siapa pun kita di mata-Nya.

“Jujur, nak istiqamah dalam melakukan kebaikan memang susah. Kena minta tolong dan sentiasa mendampingi orang yang baik-baik dan boleh membawa kita ke jalan kebaikan,” katanya.

NABIL menyatakan, perubahan dan penghijrahan yang berlaku pada dirinya kini merupakan asbab untuknya terus mencari keredaan Allah.

Gerak hati

Bercerita lanjut, Nabil yang mula mencipta nama selepas dinobatkan juara Raja Lawak musim kedua itu memberitahu, perubahan yang berlaku atas kehendak sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Saya sendiri tergerak hati mahu memperbaiki dan mendisplinkan diri. Niat saya hanya satu, mahu mendalami ilmu agama sebanyak yang mungkin.

“Kadangkala saya sendiri pun terfikir kenapa baharu sekarang dan pada usia begini saya nekad untuk berubah dan mendekatkan diri dengan agama. Kenapa tidak dahulu lagi,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Nabil, dia juga manusia biasa yang perlu mencari keseimbangan hidup di dunia dan akhirat di luar skop hiburan.

Tambah anak jati kelahiran Mambau, Negeri Sembilan itu, dia masih berada dalam fasa memperbaiki dan mendisplinkan diri agar hati terus teguh istiqamah dengan apa yang dilakukannnya.

“Alhamdulillah, isteri saya, Zira Ayub juga kini sudah bertudung. Anak-anak dan keluarga juga banyak berubah ke arah kebaikan.

“Jujur saya katakan, sebelum ini saya gagal jadi suami yang terbaik. Cara yang saya gunakan untuk mendidik isteri dan anak-anak silap,” katanya.

TEKAD bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia bersyukur dengan perubahan yang berlaku dalam hidupnya dan berharap terus istiqamah memenuhi tuntutan sebagai hamba Yang Maha Esa.

Populariti hilang

Ditebak, tidakkah dia bimbang perubahan dan penghijrahan yang dilakukan dilihat sekadar hangat-hangat tahi ayam oleh khalayak, Nabil tiada gusar. Dia hanya manusia biasa dan enggan peduli apa yang bakal diperkatakan orang terhadap dirinya.

“Saya ada keluarga, kawan-kawan dan orang sekeliling yang akan menegur ke arah kebaikan dan memperbetulkan saya sekiranya melakukan kesalahan.

“Dalam apa juga yang dilakukan sebenarnya tiada percaturan. Saya cuma ingin berubah dan memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

“Justeru, tegurlah jika saya tersilap langkah. Saya hanya manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan,” ujarnya.

NABIL berjanji dia tidak akan sesekali bersara atau lari daripada dunia hiburan kendatipun sudah berubah imej. – Foto FARIZ RUSADIO

Ditanya pula, adakah perubahan yang dilakukan memberi bayangan bahawa dia mahu mengangkat bendera putih daripada terus menjadi penghibur dan anak seni, Nabil lantas menafikan.

Dia tetap akan menjadi diri sendiri kendatipun sudah berhijrah. Dia juga langsung tidak risau jika populariti yang diraihnya selama ini lenyap.

“Saya akan terus berkarya dan berkongsi bakat selagi diterima. Pada masa sama, saya mahu mencari reda Allah.

“Masakan saya mahu berhenti begitu saja. Lagipun pada saya, bidang hiburan juga merupakan antara platform dan medan terbaik untuk menyalur dan berkongsi ilmu berkaitan agama.

“Tiada apa yang saya mahukan. Cukup hidup diberkati dan memiliki masa depan yang cerah sebagai manusia beragama Islam. Insya-Allah,” katanya.

Sebelum menoktahkan bicara, Nabil juga mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa Ramadan yang penuh barakah ini buat seluruh umat Islam.

AKUI Nabil, masih terlalu banyak perihal agama yang perlu dipelajarinya dari masa ke masa.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI