fbpx

‘Saya tak campur urusan polis’ – Hamzah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah pada sidang akhbar mengenai Wacana Meja Bulat bersama Menteri Dalam Negeri di sini, hari ini. FOTO : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan beliau cuba masuk campur urusan pertukaran pegawai polis yang diputuskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Sebaliknya beliau dalam nada tegas berkata, perkara tersebut diputuskan sendiri Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang secara kebetulan dirinya pula merupakan pengerusi panel itu.

“Saya tidak pernah mencampuri urusan kelulusan pertukaran pegawai kanan polis, saya minta maaf jika ada orang yang kata saya sengaja masuk campur, tapi yang jelas saya pengerusi.

“Kalau ada keputusan yang dikeluarkan, ia adalah keputusan SPP, namun itulah kadang kala setiap keputusan ada khilaf (perbezaan pandangan), ada terima keputusan dengan cara lain. Tetapi keputusan itu harus dilihat sebagai keputusan rasmi SPP,” jelas beliau dalam sidang akhbar selepas Wacana Meja Bulat Bersama Menteri, di sini hari ini.

Hamzah mengulas kenyataan pihak tertentu khasnya parti pembangkang dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mempersoalkan campur tangan dirinya dalam SPP akhir-akhir ini.

Antaranya daripada Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim dan Persatuan Patriot Kebangsaan yang mendakwa kononnya beliau kemungkinan cuba ‘melanggar’ Akta Polis 1967. Bagaimanapun, tohmahan itu disangkal beberapa bekas peneraju pasukan tersebut dan mendakwa Ketua Polis Negara cuma berkuasa dalam pertukaran pegawai pangkat rendah.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, SPP itu sendiri lebih tinggi daripada Ketua Polis Negara kerana sembilan ahli panel dilantik terus oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perlembagaan.

“Betullah saya ialah menteri bertanggungjawab dan juga pengerusi SPP, tetapi saya pun ikut keputusan majoriti yang tentunya jauh lebih baik berbanding saya buat keputusan sendiri.

“Malah, Ketua Polis Negara turut terima watikah pelantikan jawatannya oleh Yang di-Pertuan Agong atas keputusan nasihat panel SPP, bukannya arahan daripada saya,” tambah beliau.

Menyentuh isu pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar yang diusir balik ke negara asal, beliau menegaskan ada dihantar pulang kerana membuat kesalahan jenayah di Malaysia.

Namun ujarnya, ada antara mereka bersetuju balik ke Myanmar setelah menjalani hukuman penjara di negara ini termasuk tinggal lebih masa dengan jumlah mereka itu dianggarkan lebih 4,000 orang.

Justeru tegas Hamzah, tidak timbul isu kerajaan Malaysia berlaku zalim dengan memaksa mereka pulang menaiki kapal tentera Myanmar kononnya akan dihukum pula oleh junta negara itu.

“Ini isu berbeza dan kita tidak mahu campur perkara ini tetapi jika ada mahu lanjut tinggal di Malaysia atas dasar perikemanusiaan, sila segera jumpa saya untuk bincang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI