FLORIDA – Pelari pecut wanita Amerika Syarikat (AS), Sha’Carri Richardson mampu menamatkan badi pingat emas 25 tahun AS dalam acara 100 meter (m) pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula Julai depan.
Atlet berusia 21 tahun itu muncul prospek terbaik AS selepas melakukan kejutan dengan catatan masa 10.72 saat (s) pada Kejohanan Continental Tour Silver di Miramar, Florida semalam.
Catatan itu menyaksikan Richardson kini menduduki ranking keenam terbaik dunia bagi acara 100m wanita sepanjang zaman.
Sebagai rekod, hanya lima pelari AS yang mampu mencatatkan larian terbaik seperti itu iaitu Florence Griffith Joyner, Carmelita Jeter, Marion Jones, Shelly-Ann Fraser-Pryce dan Elaine Thompson.
“Musim ini akan menjadi luar biasa bagi saya. Sukar untuk saya mempercayainya dengan catatan ini tetapi ia adalah permulaan terbaik sebelum ke Tokyo,” kata Richardson
Penganalisis sukan AS meramalkan Richardson bakal menjadi tumpuan dalam acara 100m di Tokyo, namun terlebih dahulu perlu melepasi ujian dan menduduki kedudukan tiga teratas sewaktu sesi pemilihan di Eugene, Oregon bulan depan.
Ketika ini, AS bertekad untuk menamatkan kemarau pingat emas 100m wanita pada Sukan Olimpik selepas kali terakhir mememenanginya menerusi Gail Devers sewaktu edisi 1996.
Marion Jones pernah meraih pingat emas buat AS, namun kejayaan itu terpaksa dibatalkan selepas terlibat dalam skandal doping. – AGENSI