fbpx

Laman web lucah disekat 82 kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gadis mudah tertipu dengan teman lelaki yang meminta mereka merakamkan aksi terlampau. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sebuah laman web lucah yang dipercayai menjadi tempat sebilangan rak­yat Malaysia mendapatkan wang dengan menjual rakaman video seks pernah disekat lebih 82 kali oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM berkata, laman web lucah itu berpangkalan di luar negara, namun usaha untuk memben­dung penyebaran kandungannya akan dilakukan secara berterusan

“Bagi tempoh 2014 hingga Mac lalu, sejumlah 82 laman web lucah itu dalam pelbagai versi telah pun disekat oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Pada Rabu lalu Kosmo! me­laporkan sebuah laman web porno boleh diakses dengan mudah dan dipercayai menjadi tempat sebilangan rak­yat Malaysia mendapatkan wang dengan menjual rakaman video seks mereka atau orang lain.

Bayaran lebih tinggi melibatkan kandungan premium.

Tinjauan ke atas laman web yang berpangkalan di luar negara itu mendapati, terdapat ratusan rakaman video tidak senonoh dipercayai melibatkan rakyat Malaysia boleh ditonton secara percuma di laman web tersebut.

Mengulas lanjut, Jabatan Komunikasi Korporat SKMM itu menjelaskan, sekatan laman web dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama pihak penyedia per­khidmatan Internet di Malaysia hanya bagi tujuan mengehadkan akses kepada kandungan ber­kenaan daripada rangkaian awam dalam negara.

Tindakan itu bagaimanapun tidak merangkumi rangkaian persendirian atau akses dari luar negara.

SKMM memberi jaminan ­usaha membendung penyebaran kandungan lucah akan terus diambil bagi melindungi keselamatan dan kepentingan pengguna.

“Berlandaskan maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam, SKMM akan melaksanakan langkah pengumpulan maklumat dan jika berkaitan, ia akan disusuli dengan tindakan sekatan akses awam,” kata ke­nyataan itu.

Dalam pada itu, suruhanjaya itu memaklumkan, pihaknya telah menyekat sebanyak 6,534 laman web yang mengandungi kandungan lucah dari 2014 sehingga Mac lalu.

Tindakan diambil mengikut peruntukan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Seksyen itu antara lain mela­rang pembuatan, pewujudan dan penyebaran komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lucah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI