fbpx

Hanya empat lokasi bazar Ramadan di Putrajaya 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) memutuskan hanya empat lokasi bazar Ramadan sekitar pusat pentadbiran kerajaan persekutuan yang dibenarkan beroperasi sempena Ramadan yang bermula Selasa ini.

Lokasi berkenaan adalah di Bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3; Mini Bazar Ramadan, Laman Perdana, Presint 1; Mini Bazar Ramadan, Laman Duta, Presint 15 dan Food Truck Ramadan, Laman Hijau, Kompleks PPj.

Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain berkata, dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19, PPj mengambil langkah kawalan dengan mengawal bilangan lokasi yang dibenarkan bagi penganjuran bazar Ramadan/Aidilfitri di Putrajaya.

“Hanya empat lokasi bazar di Putrajaya dibenarkan beroperasi dan akan diselia serta dipantau sepenuhnya dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara yang ketat.

“Kunjungan warga tua dan kanak-kanak adalah tidak digalakkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Azmi berkata, lokasi-lokasi lain tidak dibenarkan untuk mengadakan bazar atau gerai Ramadan sepanjang tempoh pencegahan dan pengawalan penularan Covid-19 pada masa kini.

Menurutnya lagi, bagaimanapun, peniaga-peniaga sedia ada iaitu di premis milik PPj dibenarkan untuk menambah juadah berbuka seperti kuih-muih dan lauk-pauk berbungkus dengan jumlah jualan makanan yang berpatutan.

“Tambahan gerai atau khemah tidak dibenarkan. Kesemua peniaga juga perlu menyediakan QR MySejahtera di premis masing-masing, cecair pembasmi kuman dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI