fbpx

Tiga beradik setia jaga ibu schizophrenia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai SSU menyantuni tiga beradik di sebuah pangsapuri di Gombak yang menjaga ibu mereka yang mempunyai masalah tekanan mental. - Foto Facebook LZS

SHAH ALAM – Tiga beradik wajar dijadikan sebagai tauladan apabila tidak pernah mengabaikan tanggungjawab malah setia serta cekal menjaga kedua-dua ibu bapa mereka termasuk mempunyai penyakit tekanan mental atau schizophrenia di sebuah pangsapuri di Gombak, dekat sini.

Mereka yang berusia 15 hingga 18 tahun juga sentiasa tenang dalam menghadapi kehidupan itu terutama ‘perangai’ ditimbulkan ibu mereka sejak dua tahun lalu.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi hantaran di laman rasmi Facebooknya hari ini memberitahu, Skuad Saidina Umar (SSU) menguruskan satu kes keluarga yang hidup berdepan masalah kewangan dan kesihatan.

Katanya, bapa kepada tiga beradik itu yang sakit sejak Oktober lalu kini sedang koma di hospital berikutan hanya 20 peratus sahaja jantungnya mampu beroperasi selain mempunyai penyakit buah pinggang dan hati rosak serta paru-paru berair sejak bulan lalu.

“Ibu mereka berusia 44 tahun disahkan menghidap masalah schizophrenia sejak dua tahun lalu dan berulang kali cuba membunuh diri.

“Ini termasuk kedua-dua lengan wanita itu penuh dengan kesan torehan pisau serta cuba untuk terjun dari tingkat empat sebuah bangunan sebelum berjaya diselamatkan tiga anaknya,” katanya.

LZS turut memaklumkan wanita pernah bertindak mencekik suaminya kerana mendengar bisikan menyuruhnya untuk membunuh.

Ujar LZS, walaupun bergantung dengan ubat penenang setiap hari namun ibu mereka sentiasa berada dalam keadaan cemas kerana terlalu banyak memikirkan masalah yang menimpa.

“Apabila si ibu sukar dikawal, mereka bertiga akan berusaha menenangkan dan memujuk ibunya agar tekanan dapat dilegakan.

“Kami (SSU) sendiri menyaksikan betapa tenang tiga beradik itu apabila ibunya berada dalam keadaan tidak terkawal dengan memainkan peranan dengan bersembang, memberi kata-kata nasihat, membuat lawak dan sebagainya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, LZS memberitahu, keluarga tersebut bergantung sepenuhnya dengan pendapatan anak sulung perempuan mereka yang bekerja dengan pendapatan RM1,100.

“LZS akan terus menyantuni keluarga ini bagi membantu keperluan kewangan bulanan, perubatan dan juga pendidikan mereka,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI