fbpx

Kerajaan sasar eksport coklat cecah RM2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairuddin (dua dari kiri) melawat pameran usahawan coklat pada Majlis Perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Hotel LaCrista Melaka di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

MELAKA – Kerajaan menyasarkan nilai sumbangan eksport coklat negara meningkat dua kali ganda mencecah RM2 bilion pada tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, nilai tersebut dianggap relevan selepas melihat kejayaan industri itu mencapai nilai eksport sebanyak RM1 bilion pada tahun lalu meskipun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Di bawah Rancangan Malaysia keduabelas (RMK-12), Program Pembangunan Usahawan Coklat dan Program Promosi Koko telah diperuntukkan sebanyak RM10 juta.

“Peruntukan ini merangkumi skop pengukuhan pasaran, promosi dalam dan luar negara, yang dijangka dapat membantu meningkatkan pasaran industri koko dan coklat negara, sekali gus meningkatkan jumlah eksport coklat negara,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Hotel LaCrista Melaka di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi peruntukan itu juga, kementeriannya turut menyasarkan untuk melahirkan kira-kira 1,000 usahawan coklat buatan tangan dalam tempoh lima tahun.

“Peruntukan itu juga adalah untuk pembangunan usahawan baru, menaik taraf usahawan sedia ada, bantuan teknikal, pemantauan prestasi usahawan dan pelbagai aktiviti lain.

“Peruntukan ini juga merupakan peluang untuk anak muda lepasan universiti menjadi sebahagian daripada usahawan baru untuk menampilkan idea-idea segar termasuklah daripada segi bungkusan bertaraf antarabangsa dan menjadikan Malaysia terkenal sebagai ‘King Of Chocolate’,”katanya.

Tambahnya, pada RMK11, sebanyak 232 usahawan coklat buatan tangan telah diwujudkan dan berdaftar dengan Lembaga Koko Malaysia dengan rekod jumlah pendapatan mencecah RM5.81 juta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI