KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) nyata tidak mensia-siakan peluang untuk meraih tiga mata penuh apabila menewaskan Sri Pahang 3-1 selepas terpaksa bermain dengan 10 pemain pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar melam kelmarin.
Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, pada awalnya sukar buat Kedah menentang pasukan berkualiti seperti Sri Pahang, namun selepas seorang pemain ahli pasukan pelawat itu dilayangkan kad merah, KDA FC mula ambil peluang untuk mengeksploitasi aksi tersebut.
“Sebenarnya tidak begitu mudah untuk kami walaupun berhadapan dengan pihak lawan yang hanya beraksi dengan 10 pemain selepas pihak lawan menyamakan kedudukan pada babak pertama.
“Tambahan pula pertahanan Sri Pahang menjadi lebih kompak serta menyukarkan melalui gerakan di bahagian tengah.
“Pada waktu rehat, saya mengingatkan pemain di bilik persalinan bahawa pasukan lawan hanya beraksi dengan 10 pemain dan kita tidak mahu tewas perlawanan ini dan pemain memberi reaksi yang baik dan terus bangkit mencari gol,” katanya kepada pemberita malam kelmarin.
Aidil menambah, pemain KDA FC tidak bermula dengan baik dan bermula dengan aksi yang perlahan sebelum mula kembali bangkit dengan penguasaan yang lebih baik.
Jelasnya, waktu rehat pemain selama 11 hari mungkin antara penyebab anak-anak buahnya bermula sedikit perlahan dengan intensiti sedikit rendah.
Beliau juga melahirkan penghargaan kepada semua pemainnya terutama ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar dan Kpah Sherman yang meledak gol pada perlawanan itu.