fbpx

K2

Dari gerai depan kilang gula, kini di restoran selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAd TARMIZI menunjukkan kari kepala ikan yang menjadi menu signatur di restoran D’warees Resipi Kari Kepala Ikan yang terletak di Shah Alam.

TIGA tahun lalu, Ahmad Tarmizi Khalid bersama isterinya, Akmalzulaila Mohamad berasa sayu apabila melihat pelanggannya menikmati kari kepala ikan dalam keadaan hujan. Didorong atas rasa ingin memberikan keselesaan buat pelanggan, peluang untuk membuka sebuah restoran segera diraih kedua-duanya.

Dahulu, pasangan suami isteri ini berniaga kari kepala ikan di gerai bawah pokok yang terletak di hadapan kilang gula di Batu Tiga, Shah Alam.

Pelanggan yang datang bukan calang-calang, malah mereka tidak segan silu menyinsing lengan, takut kuah kari terkena pakaian.

Menurut Ahmad Tarmizi, 40, berpindah operasi ke restoran yang boleh memuatkan kira-kira 120 orang pelanggan pada satu-satu masa di belakang stesen minyak Petron di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, menu yang dihidangkan juga semakin bertambah.

Katanya, jika dahulu kari kepala ikan yang merupakan sajian utama dijadikan hidangan, kini pelbagai menu lain turut ditambah bagi menepati selera pelanggan.

Antaranya kari kambing, kari daging masak lemak nangka, asam pedas, kurma daging, pajeri nanas, ulam-ulaman, sambal belacan dan banyak lagi.

“Kami mengekalkan nama D’Warees Resipi Kari Kepala Ikan kerana ia memang sinonim dengan pelanggan setia dari kilang gula lagi.

“Di sini, kami berasa lebih tenang apabila melihat pelanggan dapat duduk dalam keadaan selesa sambil menikmati hidangan bersama rakan mahupun seisi keluarga,” katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.

Bercerita lanjut, dia yang pernah bekerja sebagai kontraktor elektrik menambah, akan keluar rumah seawal pukul 4 pagi ke pasar borong berhampiran bagi mendapatkan bekalan kepala ikan yang segar.

 

MENU kari kepala ikan menggunakan empat ikan yang berbeza mampu memikat selera.

 

Antara kepala ikan yang boleh dipilih pelanggan ialah ikan merah, jenahak, kerapu dan mayong.

“Resipi yang diolah ini akan dimasak bersama isteri pada setiap hari dan kebiasaannya, kami mampu menjual antara 50 hingga 70 ketul kepala ikan setiap hari.

“Harga pula tidak terlalu mahal dan ia bergantung pada saiz dengan anggaran antara RM20 sehingga RM65 seketul dengan berat antara sekilo atau lebih,” ujarnya.

Ditanya resipi rahsia sehingga membuatkan pelanggan lamanya setia, dia menambah, ia terletak kepada campuran air kepala ikan yang membuatkannya istimewa.

“Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan adalah apabila ada seorang pelanggan menempah kepala ikan yang besar. Jadi saya ke pasar dan mendapatkan satu kepala ikan dengan berat tujuh kilogram.

 

ULAM-ULAMAN turut disediakan di restoran tersebut sebagai lauk sampingan.

 

“Ketika mahu menghidangkannya, kami tiada bekas yang sesuai sehingga terpaksa menggunakan tray,” katanya.

Bagi perancangan masa depan, katanya, mahu melanjutkan waktu operasi sedia ada hingga malam.

“Kami berpindah ke sini pada Oktober tahun lalu dan ketika itu pandemik Covid-19 sedang melanda negara.

“Ketika itu kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada masa itu, kami banyak menggunakan perkhidmatan online. Sekarang kita tengok keadaan, jika waktu operasi perniagaan dibenarkan sehingga pukul 12 malam, kami akan menimbangkan untuk beroperasi hingga pukul 10 malam,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI