fbpx

Bekas jururawat diperdaya ‘kekasih maya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JEMPOL – Seorang wanita berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM10,800 susulan terpedaya dengan kekasih alam maya yang baru dikenali di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang merupakan pesara jururawat berusia 54 tahun itu mula menjalin hubungan dengan seorang individu yang menggunakan identiti lelaki warganegara Poland yang dikenalinya secara dalam talian.

Menurutnya, hubungan berkenaan kemudiannya menjadi lebih erat dan mangsa yang beralamat di Bandar Sri Jempol mula menjadi kekasih kepada rakan maya berkenaan yang merupakan sindiket love scam.

“Mangsa dikaburi dengan janji-janji kekasihnya itu untuk menerima barangan seperti beg tangan, kasut, baju, barang kemas dan wang sebagai tanda persahabatan dan hubungan yang makin erat.

“Seperti biasa helah ini berakhir dengan barangan yang dikirim secara pos telah ditahan pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Chang Hook.

Chang Hook berkata, mangsa telah dihubungi oleh ejen penghantaran bagi menyelesaikan penghantaran barang berkenaan dan mangsa diminta untuk melakukan bayaran bagi perkhidmatan itu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah membuat bayaran berjumlah RM10,800 untuk melepaskan barang yang ditahan.

“Mangsa merasa tertipu apabila dikehendaki melakukan pembayaran lagi dan segera membuat laporan polis di Balai Polis Bahau semalam.

“Kita harap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan perhubungan yang terjalin secara maya ini walaupun sering diberikan janji-janji manis termasuk pemberian barang-barang mewah,” ujarnya.

Jelasnya, orang ramai boleh diminta membuat semakan terlebih dahulu melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sebelum membuat sebarang bayaran bagi mengelak daripada ditipu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI