fbpx

Polis panggil Datuk Seri beri keterangan kes tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular beberapa individu melakukan provokasi kerana berang perarakan kenderaan membawa mayat ditahan polis di Jalan Lintang di Sungai Siput pada Khamis lalu.- IHSAN MEDIA SOSIAL

SUNGAI SIPUT – Bekas Timbalan Menteri bergelar Datuk Seri antara individu yang akan dipanggil memberi keterangan berkaitan kes tular kononnya polis menahan perarakan pengebumian mayat dengan kenderaan di Jalan Lintang dekat sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, dakwaan itu tidak benar kerana polis tidak menahan kenderaan itu bagi tujuan menghalang perarakan tersebut sebaliknya menasihati mereka agar mematuhi peraturan lalu-lintas.

Malah katanya, tiada tindakan mahupun saman dikeluarkan pihak polis ke atas rombongan berkenaan.

“Polis akan memanggil beberapa orang termasuk yang didakwa sebagai orang kenamaan untuk memberi keterangan selain media yang telah mengeluarkan berita tidak sahih itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada perhimpunan sempena Majlis Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini hari ini.

Menceritakan insiden tersebut, Mohd. Khaizam memberitahu, kejadian berlaku semasa sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Siput sedang menjalankan rondaan cegah jenayah dan mendapati aliran trafik di lampu isyarat di Jalan Lintang agak terganggu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, keadaan itu berpunca ekoran tindakan anggota agensi sukarelawan yang memberhentikan dan melencongkan kenderaan bagi memberi laluan kepada perarakan berkenaan.

“Tindakan menahan rombongan tersebut bukan bertujuan menghalang atau tidak menghormati mayat tetapi menasihati mereka agar patuh kepada peraturan lalu-lintas.

“Nasihat juga diberikan kepada anggota agensi sukarelawan terbabit agar tidak sewenang-wenangnya melencongkan kenderaan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa agensi berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, selepas menahan rombongan itu, mereka telah membuat provokasi ke atas anggota dan ia bukan tindakan bijak kerana jelas melanggar peraturan.

“Berdasarkan maklumat, konvoi itu dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebanyak dua kali dan tindakan tersebut boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku dan dalam hal ini, polis hanya menjalankan tugas yang diamanahkan untuk kesejahteraan masyarakat dan sekiranya didapati melanggar peraturan, maka sudah tentu tindakan akan diambil,” katanya.

Terdahulu, beberapa gambar dan video berdurasi 2 minit 19 saat tular di media sosial yang memaparkan provokasi dilakukan beberapa individu termasuk seorang bekas timbalan menteri kerana berang perarakan kenderaan membawa mayat ditahan polis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI