SHAH ALAM – Golongan muda di Selangor berdepan masalah mental ekoran ketagihan syabu yang mampu menjadikan mereka lebih ‘berkuasa’ sehingga tidak tidur selama lebih tiga hari.
Realitinya, syabu atau ‘ais’ adalah sejenis dadah sintetik yang menyerang otak sehingga menyebabkan kerosakan kekal pada organ tersebut.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Dr. Nazira Sadiron berkata, perkara tersebut terjadi apabila penagih menggunakan dadah tersebut selama enam bulan berturut-turut.
Menurut beliau, syabu menjadi pilihan kerana mampu mengaktifkan keberanian dan keseronokan berbanding dadah tradisional seperti heroin dan ganja yang menyebabkan penggunanya lebih tenang.
“Rekod menunjukkan seramai 16,336 orang kena pengawasan (OKP) dalam masa tiga tahun bermula 2019 sehingga Mac lalu dan seramai 7,884 orang daripada mereka menggunakan dadah jenis syabu.
“Rata-rata mereka (penagih dadah) berusia bawah 40 tahun yang bakal mewarisi negara ini,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Selain syabu, dadah-dadah lain yang diambil adalah opiat iaitu seramai 4,914 penagih, ganja (2,566 penagih), ekstasi (480 orang), ATS (325 orang) dan ketamin ( 167 orang).
Menurut beliau, harga pasaran syabu pula didapati konsisten dalam tempoh tiga tahun ini iaitu RM100 hingga RM300 sepeket bergantung kepada gred yang disifatkan sebagai harga mampu milik.
Tambah beliau, secara purata penagih dadah mengambil bahan terlarang itu kira-kira 0.5 gram (g) sehari atau 3.5g dalam masa seminggu.
“Penagih syabu perlu diberikan rawatan segera disebabkan dadah jenis tersebut paling cepat memberikan kesan kerana menyerang otak.
“Namun, ada sesetengah ahli keluarga yang mengambil sikap sambil lewa dan menggunakan khidmat perubatan alternatif seperti bomoh sekiranya anak kemurungan atau bersendirian.
“Jangan tunggu keadaan menjadi tidak terkawal baru hendak menghubungi pihak berkuasa termasuk pihak AADK,” tegas beliau.














