fbpx

Rumah terbakar, majlis tunang tetap diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah pusaka keluarga Nur Hidayah yang berusia 100 tahun musnah dijilat api hari ini.

BATU PAHAT – Majlis pertunangan seorang operator bersama pasangannya tetap diteruskan meskipun rumah pusaka keluarganya yang berusia 100 tahun musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong di sini hari ini.

Menurut mangsa, Nur Hidayah Jahurin, 20, majlis pertunangan bersama pasangannya, Mohd. Sahril Sairian, 30, akan diadakan di rumah saudaranya yang terletak bersebelahan rumah keluarganya.

“Kami buat ala kadar hanya sarung cincin, semua barang musnah termasuk pelamin, barang hantaran, makanan untuk tetamu pun turut hangus.

“Besar sungguh ujian kami sekeluarga, apa pun kami reda, Insya-Allah mungkin Allah nak bagi rezeki yang lebih baik untuk kami nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nur Hidayah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira sejam sebelum majlis sebenar berlangsung dan ketika kejadian dia sedang bersiap untuk menunggu hari bahagia itu.

Bercerita berkenaan kejadian, katanya, ketika itu dia sedang bersolek tiba-tiba dia terdengar bunyi tetamu kecoh memberitahu ada kepulan asap tebal sebelum api marak menyambar pelamin.

“Saya dengar orang cakap ada asap, saya ingatkan asap dari dapur, tetapi bila keluar api sudah marak.

“Tak sempat nak selamatkan apa-apa, dokumen penting pun tak sempat selamat, masing-masing keluar selamatkan diri,”katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, bapanya, Jahurin Tukiran, 54, pengsan selepas terkejut dengan kejadian itu manakala saudaranya berusia 32 tahun cedera akibat terkena serpihan kaca.

Nur Hidayah yang bekerja sebagai operator dan pasangannya seorang peniaga merancang untuk mengadakan majlis itu sejak November tahun lalu.

Majlis sepatutnya diadakan lebih awal namun kerana penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka terpaksa tangguhkan sehingga ke hari ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI