fbpx
Mustapa sedang memberi penerangan berkenaan projek yang bakal dilaksanakan di Kelantan pada program berkenaan, hari ini.

Projek pembangunan akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK – Proses penelitian projek-projek pembangunan yang akan disenarai pendek sebelum dimuatkan dalam Belanjawan 2022 akan dilakukan dalam tempoh empat bulan bermula April ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya sudah menerima senarai projek daripada kementerian untuk diteliti sebelum dirujuk kepada Kementerian Kewangan.

Katanya, proses pertimbangan akan dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi.

“Projek pembangunan yang menjadi keutamaan termasuk pembinaan balai polis, sekolah, hospital, penyelenggaraan dan penambahbaikan jalan.

“Semua akan diperhalusi pada bulan depan sebelum dimuktamadkan pada Ogos. Kemudian kita akan berunding dengan Kementerian Kewangan untuk menentukan jumlah peruntukan yang akan dibelanjakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Malaysia Prihatin Sesi Bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Peringkat Jajahan Bachok di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.

Mustapa berkata, pihaknya sudah bertemu wakil jabatan berkaitan untuk mengenal pasti projek yang menghadapi masalah sebelum mengadakan mesyuarat dengan kementerian-kementerian awal bulan depan bagi mencari penyelesaian.

“Kita mahu memastikan peruntukan sebanyak RM69 bilion bagi melaksanakan agenda pembangunan dan merancakkan ekonomi negara pada tahun ini agar ia dibelanjakan sebaik mungkin sepenuhnya.

“Tujuannya bagi mengenal pasti projek yang ada masalah. Sebagai contoh, projek yang diluluskan, namun ada masalah melibatkan tanah. Kita ingin pastikan segala yang dirancang untuk pemulihan ekonomi dapat dibelanjakan dengan betul,” katanya. -K! ONLINE

POPULAR