fbpx
SAMIRA sudah tawar hati dengan sikap cemburu tidak bertempat Hasani dan kini bahagia hidup sendiri bersama anak-anak. – GAMBAR HIASAN

Serik tiga kali diceraikan suami cemburu buta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI usia 40 tahun, Samira (bukan nama sebenar) sendiri tidak menyangka dia bergelar janda dengan tiga orang anak berusia enam hingga 14 tahun.

Bukan satu, sebaliknya tiga kali talak dijatuhkan oleh bekas suaminya (Hasani) secara berasingan sepanjang 15 tahun usia perkahwinan mereka.

Semuanya gara-gara sikap panas baran dan cemburu melampau Hasani yang terlalu menaruh syak wasangka terhadap Samira.

Bergelar bekas pramugari di sebuah syarikat penerbangan terkemuka, Samira memilih meninggalkan alam kerjaya pada usia 23 tahun ketika kariernya berada di kemuncak selepas berkahwin.

Dia memilih menjadi suri rumah memandangkan Hasani yang memiliki syarikat menjual kenderaan mewah mampu menyara kehidupan mereka.

Sejak awal perkahwinan, suaminya mempamerkan sikap panas baran dan cemburu buta, namun Samira tetap bertahan kerana cinta dan sayangnya mengatasi segala-galanya.

Samira yang kini pulang ke kampung di Pulau Pinang selepas bercerai, berkata, Hasani akan berubah menjadi panas baran sekiranya melihat dia bercakap dengan lelaki lain.

“Hasani tidak pernah memukul saya sepanjang perkahwinan, namun dia akan menghamburkan kata-kata kesat sekiranya dia mengesyaki saya ada hubungan dengan lelaki lain.

“Saya hanya suri rumah dan lingkungan rakan hanya bekas rakan sekerja sewaktu menjadi pramugari.

“Namun, Hasani tetap tidak percayakan kejujuran saya. Akaun Facebook, Instagram saya habis diceroboh, malah sewaktu masih bergelar suami isteri, telefon saya diperiksa setiap hari,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Jelas Samira, talak pertama terhadapnya jatuh ketika anak pertamanya berusia lapan tahun selepas dia dan Hasani bergaduh besar.

Ketika itu, Hasani naik angin apabila mendapati Samira pulang lewat ke rumah selepas membeli barang keperluan di sebuah pasar raya berhampiran rumah.

“Kebetulan saya terserempak dengan bekas rakan sekerja yang juga pasangan suami isteri. Kami singgah sebentar di sebuah kafe untuk bersembang kerana sudah lama tidak berjumpa.

“Entah kenapa Hasani mengamuk kerana fikirkan saya berjumpa senyap-senyap dengan bekas kekasih, sedangkan lelaki itu adalah bekas rakan sekerja, malah isterinya juga ada bersama.

“Di hadapan anak-anak, Hasani melafazkan talak. Anak-anak yang masih belum mengerti apa-apa hanya menangis melihat kami bertengkar,” katanya.

Samira berkata, selepas talak pertama dijatuhkan, dia dan Hasani berbaik semula ketika dia masih di dalam tempoh edah demi anak-anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, bahagia mereka hanya seketika, selepas dua tahun dari tempoh talak pertama dilafazkan, Hasani sekali lagi menjatuhkan talak ke atas Samira.

“Punca pergaduhan juga remeh. Pada masa itu, saya berjinak-jinak dengan perniagaan secara dalam talian.

“Sudah pasti saya berhubung dengan pelbagai latar belakang pelanggan. Entah kenapa Hasani berang kerana beranggapan saya sekali lagi mempunyai hubungan dengan lelaki lain sedangkan mereka pelanggan saya,” katanya.

Sekali lagi, Hasani mengamuk dan menghempaskan telefon bimbit serta komputer riba milik Samira lalu dalam keadaan marah yang tidak terkawal, talak kedua dijatuhkan.

Menyedari kesilapan dan ketelanjuran melafazkan talak terhadap Samira, Hasani berulang kali memohon maaf.

“Saya bersetuju untuk rujuk semula kerana masa depan anak-anak, ketika diceraikan buat kali kedua perasaan cinta saya pada Hasani mula pudar.

“Saya bernasib baik kerana Hasani tidak pernah memukul saya, cuma dia mendera perasaan saya dengan caci maki dan cemburu buta,” katanya.

Selepas diceraikan buat kali kedua pada usia 10 tahun perkahwinan mereka, Samira nekad untuk mencari wang sendiri dan aktif dalam perniagaan online, malah hubungannya dengan Hasani semakin hambar.

Akhirnya, tahun lalu akibat tekanan kewangan disebabkan jualan kereta mewah di syarikat Hasani merudum, Samira sekali menjadi mangsa apabila Hasani melafazkan talak ketiga.

“Saya sebenarnya sudah tiada perasaan, saya tahu ikatan perkahwinan kami akan terlerai juga berdasarkan sikap Hasani yang tak pernah mahu berubah.

“Sikap cemburu buta dan panas baran Hasani akhirnya memakan diri. Saya pun sudah bersiap sedia dari segi kewangan untuk hidup sendiri selepas membina perniagaan di dalam talian.

“Apabila tempoh edah selesai, saya pulang ke kampung, anak-anak juga bersama saya.

“Hasani masih di Kuala Lumpur dan akan menjenguk anak-anak setiap bulan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN