fbpx
Recond SKA Autohub menawarkan promosi jualan Toyota Vellfire kepada penerima i-Sinar.

Peniaga ‘buru’ penerima i-Sinar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bayaran pendahuluan serendah RM5,000 sahaja bagi pembelian kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire menjadi antara promosi hebat yang ditawarkan peniaga kepada 5.94 juta penerima wang i-Sinar.

Promosi istimewa dan diskaun lain yang turut ditawarkan sempena pengeluaran besar-besaran wang i-Sinar melibatkan pembe­lian motosikal, emas, perkhidmatan ubah suai rumah, penapis air dan pinjaman wang peribadi.

Seorang jurujual kenderaan di Recond SKA Autohub, Sheikh Khairul Anuar Sheikh Salleh berkata, pihaknya melancarkan promosi i-Sinar itu sejak awal bulan ini hingga Hari Raya Aidilfitri depan bagi menarik pelanggan memiliki kereta idaman mereka.

Katanya, promosi itu memberi ruang kepada penerima i-Sinar membuat pembelian istimewa memandangkan ada antara mereka belum mempunyai sebarang perancangan dalam mem­belanjakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu.

“Jadi, kami menawarkan promosi bayaran pendahuluan se­rendah RM5,000 sahaja untuk pembelian beberapa kenderaan mewah termasuk Toyota Vellfire.

“Kebiasaannya, harga pendahuluan kenderaan ini berjumlah RM21,000 iaitu 10 peratus daripada harga jualan. Selain Vellfire, promosi i-Sinar melibatkan kenderaan lain seperti Toyota Wish dan Honda Stream,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Artikel berkaitan: Seramai 5.94 juta pemohon lulus i-Sinar

Sheikh Khairul Anuar berkata, sambutan pelanggan terhadap promosi i-Sinar dilihat begitu menggalakkan apabila berjaya mencatatkan peningkatan jualan sehingga 30 peratus.

Sementara itu, Eksekutif Jualan MGR Sdn. Bhd., Azizah Abdul Hadi memberitahu, pihaknya turut menawarkan promosi istimewa sempena pengeluaran i-Sinar bagi membantu orang ramai mengubah suai kediaman mereka pada harga diskaun.

“Sambutan diterima sangat baik sekali gus memberi ruang kepada pengeluar i-Sinar untuk mengubah suai rumah seperti yang diidamkan menerusi pengeluaran wang KWSP.

“Kami juga berjaya mencatatkan peningkatan jualan hampir 30 peratus sepanjang promosi berkenaan yang berlangsung sejak Februari lalu,” ujarnya.

Antara promosi yang ditawarkan MGR Sdn. Bhd. ialah pemasangan kabinet dapur dengan potongan harga melebihi RM1,000.

Tinjauan Kosmo! di beberapa laman sosial terutama Facebook mendapati, ramai peniaga berlumba-lumba menawarkan pelbagai promosi hebat bagi menarik pelanggan sempena pengeluaran wang i-Sinar.

Penjual barangan kemas antara peniaga yang dikesan begitu ghairah membuat pelbagai promosi termasuk tidak mengenakan upah bagi pembelian emas.

Pemberi pinjaman wang juga dilihat ‘memancing’ pene­rima i-Sinar dengan menyediakan pinjaman penuh wang tanpa penjamin dan tanpa deposit.

Dalam pada itu, seorang kakitangan swasta, Zaidi Amin, 31, pula menyifatkan promosi yang ditawarkan peniaga begitu menarik sehingga menyebabkan orang ramai mudah terpengaruh.

“Pada awalnya, saya mengeluarkan duit i-Sinar sebagai persediaan awal jika berlaku sebarang kecemasan ketika Covid-19 dan berhasrat menyimpan wang itu di bank dalam bentuk simpanan.

“Namun, niat saya berubah apabila melihat promosi istimewa peniaga-peniaga di media sosial sebelum membuat keputusan untuk membeli sebuah telefon bimbit bagi kegunaan harian,” ujarnya.

Pun begitu, katanya, dia masih menyimpan sebahagian lagi duit i-Sinar di bank dan tidak mem­belanjakan sepenuhnya bagi memenuhi kehendak diri.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN