fbpx

Rumah kelahiran P. Ramlee sunyi sepi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUMAH Allahyarham P. Ramlee kini sunyi tanpa pengunjung yang terletak di Jalan P. Ramlee, Taman P. Ramlee, George Town.

GEORGE TOWN – Rumah kelahiran Tan Sri P. Ramlee yang terletak di Jalan P. Ramlee di sini turut terkesan akibat pandemik Covid-19 apabila sunyi-sepi tanpa pengunjung.

Tinjauan ke rumah kelahiran seniman agung itu mendapati kawasan bersejarah yang ­menempatkan pelbagai bara­ngan peribadi beliau kelihatan kosong tanpa kunjungan orang ramai memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan.

Situasi ini ternyata membimbangkan Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff yang merupakan peminat seniman itu.

Mohd. Yusoff berkata, beliau berharap pihak berkuasa yang menguruskan khazanah P. Ramlee mengambil inisiatif bagi menyuburkan minat generasi muda terhadap peninggalan Allahyarham P. Ramlee.

Bagi beliau, situasi pandemik Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk mengehadkan ­aktiviti-aktiviti bagi memperingati P. Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh.

“P. Ramlee adalah satu nama besar di dalam industri kreatif negara, sepatutnya diisi de­ngan pelbagai program untuk ­mengenang jasa beliau terutama ketika bulan kelahiran beliau yang jatuh pada 22 Mac lalu.

“Medium media sosial boleh dijadikan platform untuk pihak yang menguruskan khazanah P. Ramlee seperti Arkib Negara bagi menyemarakkan bulan kelahiran P. Ramlee,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd. Yussof, ketika pandemik Covid-19 ini masih ­melanda, majlis-majlis mempe­ringati P. Ramlee boleh dijalankan di sekitar kawasan rumah P. Ramlee dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kami bimbang sekiranya tiada apa apa usaha untuk memperingati jasa P. Ramlee lama- kelamaan generasi muda tidak lagi peduli dengan karya-karya agung Allahyarham.

“Masih tidak terlambat untuk pihak berkuasa susun aktiviti sama ada di media sosial ataupun majlis secara fizikal yang mematuhi SOP untuk mengenang P. Ramlee agar beliau kekal dalam ingatan kita,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai terutama golongan muda perlu sentiasa diingatkan ­dengan jasa dan karya seni P. Ramlee agar generasi muda terus mengi­ngati beliau sebagai legenda seni sepanjang zaman. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI