fbpx

Polis tunai hajat pesakit leukemia tahap empat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noorzainy meluangkan masa membawa Firash Arryan menaiki kereta peronda polis di IPD SPU di Kepala Batas hari ini. Foto MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN

SEBERANG PERAI – Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 kali ini diraikan dengan cara berbeza apabila Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Kepala Batas di sini menunaikan hasrat seorang pesakit leukemia tahap empat yang ingin menaiki kenderaan polis hari ini.

Firash Arryan Muhammad Yusri, 6, yang juga anak sulung daripada dua beradik kelihatan teruja tatkala melihat kereta peronda (MPV) polis memasuki pekarangan dewan IPD SPU sambil ditemani ibu bapanya, Muhammad Yusri Dani, 31, dan Aida Royani Abdul Razak, 30.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya berbesar hati menunaikan impian kanak-kanak itu yang menghidap leukemia sejak dua tahun lalu.

“Dia telah mendapatkan rawatan yang diperlukan namun kesihatannya kembali merosot sejak bulan lalu ekoran sel kanser mula menyerang secara agresif.

“Difahamkan, sel kanser kini merebak ke bahagian tulang dan otak selain berdepan dengan pendarahan usus dan bahagian kulit juga kembali lebam.

“Justeru, kami gembira kerana berpeluang merealisasikan impian Firash dengan membawanya bersiar-siar sekitar Kepala Batas menggunakan kereta peronda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibu Firash, Aida Royani Abdul berkata, anaknya amat gembira kerana impiannya menaiki kereta peronda akhirnya tercapai.

“Malam tadi (semalam), Firash amat teruja dan tidak sabar menunggu pagi untuk ke IPD kerana dia tahu polis akan membawanya berjalan-jalan.

“Saya sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak IPD SPU kerana meluangkan masa dan menunaikan hajatnya sempena sambutan hari ini,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI