fbpx

MB Kedah nafi ugut Pulau Pinang hanya akan pam air selut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi menyerahkan replika cek kepada salah seorang penerima Skim Pinjaman Mikro Kredit di Wisma Darul Aman hari ini.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan kononnya beliau mengugut Pulau Pinang bahawa negeri jiran itu mungkin hanya akan mengepam air selut jika tidak membuat bayaran caj air mentah.

Jelasnya, beliau sekadar memberi amaran awal kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya bersedia dengan segala kemungkinan sekiranya enggan berunding berhubung isu air yang melibatkan kepentingan kedua-dua negeri.

Menurutnya, ketika ini, Kedah merancang untuk membina 14 Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bagi menakung lebihan air di Sungai Muda pada musim hujan untuk digunakan bagi menstabilkan paras air sungai pada musim kemarau.

“Setiap satu TAPS mempunyai kedalaman 20 hingga 30 meter dan kelebaran satu kilometer. Selain itu, baraj (stesen pintu kawalan air) baharu juga akan dibina untuk tujuan sama.

“Jadi Pulau Pinang perlu bersedia dengan keadaan ini. Apabila kita kawal dan laksanakan takungan itu nanti, kita perlu rancang berapa jumlah air perlu disimpan untuk keperluan kita dan berapa pula jumlah perlu dilepaskan untuk kegunaan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Katanya, kenyataan tersebut bukan ugutan sebaliknya amaran awal supaya Pulau Pinang bersedia dengan kemungkinan yang akan berlaku.

“Kalau mereka tidak mahu bincang atau bayar, maka Kedah rancang sebelah kita sajalah di mana kita mungkin menutup baraj itu untuk stabilkan air sebelah sini dan sebelah sana tinggal selut saja,” ujarnya.

Ketika membuat kenyataan kontroversi itu minggu lalu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri mempunyai beberapa projek dan perancangan yang belum boleh diumumkan dan akan mengakibatkan Pulau Pinang tidak lagi mendapat air melalui Sungai Muda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN