fbpx

Erra nak kahwin, Aleesya kata ‘tak payah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERRA FAZIRA dan anaknya Engku Aleesya.

PETALING JAYA – Penyanyi dan juga pelakon tersohor tanah air, Erra Fazira hanya akan kembali bergelar isteri orang jika mendapat keizinan daripada puteri tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran.

Aktres yang mendapat jolokan Primadona Filem Melayu itu berkata, dia pernah bertanyakan Aleesya tentang hasrat tersebut, namun anak hasil perkahwinannya dengan Engku Emran itu seperti memberi bayangan tidak mahu ibunya mendirikan rumah tangga dan enggan memiliki bapa tiri suatu hari nanti.

“Saya ada tanya Aleesya. Tetapi dia jawab ‘tidak payahlah’. Saya harap dia cuma bergurau sahaja kerana saya sendiri pun tidak mahu ‘melopong’ (bergelar janda) sahaja selama-lamanya,” ujar pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek itu.

Tanpa berselindung, selebriti berusia 47 tahun itu juga tidak berhasrat untuk selama-lama bergelar ibu tunggal, sebaliknya bersedia untuk  berkahwin jika bertemu lelaki yang tepat suatu hari nanti.

“Saya okey sahaja (berkahwin lagi) jika anak pun okey. Itu pun kalau ada jodohlah,” kata bekas pemenang Ratu Cantik Malaysia 1992 itu.

Bercerita tentang perkahwinan kali ketiga bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 46, dengan Noor Nabila Mohd. Noor, 37, Erra memaklumkan bahawa Aleesya, 11, berasa sangat gembira dan teruja kerana secara tidak langsung dia kini menjadi kakak dan mempunyai seorang adik tiri..

Bahkan, Aleesya sendiri pernah menyatakan keinginan untuk mempunyai seorang adik suatu hari nanti selepas 11 tahun bergelar anak tunggal.

“Aleesya sangat gembira (menerusi perkahwinan bapanya). Kegembiraannya disebabkan dia mendapat adik tiri iaitu Jebat Jayden.

“Aleesya juga sering memuji Jebat dengan menyifatkan adik tirinya yang berusia tiga tahun itu sebagai seorang kanak-kanak pintar dan cerdik.

“Jadi saya nasihatkan Aleesya supaya menjadi kakak yang baik dan sentiasa menyayangi adiknya,” ujarnya ketika ditemui dalam majlis perlantikannya bersama Wany Hasrita sebagai duta pelitup muka jenama Himaya di Hotel Shangri-La di ibu kota, hari ini.

Erra sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi iaitu Datuk Yusri Abdul Halim pada 2003, namun berpisah pada 2006. Menerusi perkahwinan tersebut, pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Erra sekali lagi mendirikan rumah tangga bersama Engku Emran pada 2007 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Engku Aleesya pada 2009. Bagaimanapun kedua-dua memutuskan untuk bercerai pada 2017. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI