fbpx

Bekas KSU, anak kekal penjara dan denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Arif hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan rayuan terhadap kesalahan menerima rasuah dan bersubahat melibatkan wang RM627,636. /FOTO FAUZI BAHARUDDIN

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman kekal menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta atas empat pertuduhan bersubahat dengan anak sulungnya menerima rasuah RM627,636 lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan Mohd. Arif, 64, dan anaknya Ahmad Zukhairi, 39, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati mereka bersalah terhadap semua pertuduhan.

Selain Mohd. Arif mahkamah juga turut mengekalkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta terhadap Ahmad Zukhairi atas empat tuduhan meminta dan menerima suapan berhubung kesalahan sama.

Sekiranya kedua-dua denda gagal dibayar, Mohd. Arif diperintah menjalani hukuman penjara tiga tahun manakala Ahmad Zukhairi selama 10 tahun.

Dalam penghakimannya, Hakim Aslam berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi tidak terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman itu terhadap mereka selain berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen-elemen yang terkandung dalam pertuduhan.

Aslam bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda ditangguhkan sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Rayuan. Notis rayuan perlu difailkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Mahkamah turut menaikkan jaminan RM500,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini kepada RM800,000 setiap seorang.

Terdahulu, peguam Guok Ngek Seong yang mewakili kedua-duanya memohon agar pelaksanaan hukuman penjara dan denda ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, pihaknya tiada bantahan terhadap penangguhan hukuman penjara, namun denda tetap perlu dibayar hari ini.

Wan Shaharuddin membantah penangguhan denda atas alasan jika Mahkamah Tinggi membenarkannya, tindakan tersebut dikhuatiri akan menyebabkan kebanjiran permohonan seumpama itu di mahkamah rendah.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Arif didakwa bersubahat dengan Ahmad Zukhari menerima rasuah berjumlah RM627,636 di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia di sini antara pukul 4 petang dan 7 malam pada 23 Ogos 2016.

Ahmad Zukhairi didakwa menerima suapan wang tunai dolar Singapura jumlah yang sama daripada Pengarah Wazlina Sdn. Bhd. (Wazlina), Mohd. Safian Mohd. Salleh pada masa, tarikh dan tempat sama.

Suapan itu sebagai upah untuk Ahmad Zukhairi dan bapanya kerana memberikan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hidbrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan, Sabah bernilai RM60 juta kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn. Bhd. (Eramaz).

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan dua peratus bernilai RM1.2 juta daripada Mohd. Safian sebagai upah untuknya dan bapanya kerana membantu Eramaz mendapat Projek BELB di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang Jaya pada 17 Mac 2016.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Ahmad Zukhairi didakwa menerima wang tunai RM130,000 daripada kontraktor Zul Fadli Rozi sebagai upah membantu syarikat HH Global Construction Sdn. Bhd. untuk mendapatkan projek cadangan membina dan menyiapkan Dataran Rekreasi di Tasik Kenyir, Terengganu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning jam 8 pagi, 18 Ogos 2016 dan di Garden Course Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada September 2016.

Sepanjang prosiding pihak pendakwaan memanggil seramai 40 saksi manakala pembelaan memanggil tiga saksi untuk memberi keterangan.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI