fbpx

Tak nak lah nikah virtual, tak seronok! – Sharifah Sakinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIFAH SAKINAH

SI pemilik personaliti ‘berani gila’, Sharifah Sakinah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan tanah air. Namanya bukan sekadar dikenali dek sensasi ciptaan sendiri, namun perwatakan dan personaliti alaminya sudah cukup menempah perhatian.

Pernah mendirikan rumah tangga, namun takdir tidak mengizinkan jodoh mereka berpanjangan. Fokusnya kini menjurus terhadap hari muka, bukan hari esok yang menyimpan luka. Dia enggan mengungkit kisah lama, haluan hidup yang terbentang depan mata mahu dijalaninya dengan sentosa.

Bertamu menjadi wajah Pose minggu ini, personaliti ‘gila-gila’ dan ‘sempoi’ yang dimiliki aktres berusia 32 tahun itu ternyata membuka suasana harmoni. Ketepikan seketika tentang sensasinya dalam media sosial, perkongsian lebih terarah tentang hidup baharu yang mahu dibina tidak lama lagi.

SELEPAS mengikat tali pertunangan Disember tahun lalu, Sakinah kini sedang menghitung detik bahagia bergelar isteri sekali lagi.

Sudah bukan rahsia, Sakinah kini berstatus tunangan kepada lelaki Sweden bernama Michael Hansen. Mereka bertunang secara kecil-kecilan dan hanya dihadiri keluarga terdekat sekitar Disember tahun lalu.

Di sebalik kisah yang hanya dibingkiskan sepintas lalu itu, penulis menyelongkar momen perkenalan antara Sakinah dengan Michael. Ada kisah lucu dan tidak terduga yang barangkali belum netizen ketahui.

Enggan nikah virtual

Adik kepada pelakon dan penyampai radio popular Sharifah Shahira itu bercerita, perkenalan kali pertama dengan bakal suaminya terjadi di sebuah gimnasium.

“Kali pertama jumpa, memang saya yang ‘menggeletis’ dan terus rasa nak berkahwin dengan dia.

“Terus saya kenalkan diri sebagai artis siap tunjuk Instagram sebab takut kehilangan dia,” seloroh Sakinah namun bernada jujur.

BERKONGSI tarikh lahir yang sama, Sakinah mengakui dia tertarik dengan Michael kerana usianya yang matang.

Bercerita tentang jejaka yang berjaya menambat hatinya, Sakinah berkata, dia tertarik dengan Michael kerana perwatakan ‘bapa-bapa’ yang dimiliki duda anak dua berusia 42 tahun itu.

Kata pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu, dia memang mudah terpikat dengan lelaki berusia kerana dilihat memiliki sifat yang lebih matang.

Berkongsi tentang pengalaman kali pertama keluar bersama tunangnya, Sakinah memberitahu dia membawa sehingga 40 orang sebagai peneman yang terdiri daripada pengurus, jurusolek dan teman terdekat termasuk rakan sekolah rendah.

“Saya takut nak keluar berjanji temu berdua. Jadi saya bawa sampai 40 orang kenalan untuk menemani sampai Michael pening kepala sebab ramai sangat. Sedangkan dia datang seorang diri ketika itu. Tapi dia okey sahaja,” ujar Sakinah sambil ketawa barangkali geli hati tatkala mengenang memori lucu tersebut.

Perancangan sebenar, Sakinah dan Michael berhasrat melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 28 Mei depan.

MESKIPUN terkenal dengan perwatakan ‘gila-gila, namun naluri keibuan dalam diri Sakinah cukup tebal apabila mengakui tidak sabar untuk menimang cahaya mata kedua.

Pasangan itu memilih tarikh tersebut kerana mereka berkongsi tarikh hari lahir yang sama. Bagaimanapun, disebabkan pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia sekarang, sukar untuk Sakinah merealisasikan impiannya bergelar isteri.

Ditanya tentang keterbukaannya untuk mengadakan majlis pernikahan secara virtual, Sakinah dengan lantang menolak idea tersebut.

“Tak mahulah kahwin virtual! Tak seronok, rasa tak meriah. Lepas kahwin mestilah nak pegang-pegang tangan. Kalau virtual nanti, lepas kahwin nak buat apa? Tengok TV?

“Teringin juga nak pakai baju nikah cantik-cantik. Tapi apa pun tengok dulu keadaan sebab kalau keluarga sebelah sana (Sweden) nak datang sini, mereka perlu kuarantin selama 14 hari,” jelasnya.

Tambah anak

Sewaktu ditanya faktor penguat yang menyebabkan dia ingin berkahwin lagi, pantas sahaja bibirnya meluncurkan jawapan selamba. Katanya, dia teringin untuk menambah bilangan cahaya mata.

“Saya nak ‘baby’ baharu. Tak sabar nak beranak. Memang nak kahwin sebab mahu tambah anak. Teringin nak ada anak nombor dua.

“Michael pun teringin nak ada anak lagi. Kalau dapat tambah lagi seorang pun dah memadai,” katanya jujur.

LEMPARLAH apa sahaja kata-kata nista terhadap cintanya bersama lelaki asing, namun Sakinah hanya mahu memandang ke depan memburu bahagia sendiri.

Berdepan dengan ‘mulut-mulut’ netizen, bohong kalau tiada yang mempertikaikan keputusannya untuk berkahwin dengan lelaki warga asing.

Bagi Sakinah, dia jatuh hati pada lelaki itu bukan disebabkan faktor bangsa atau status warganegara, tetapi disebabkan keserasian.

Malah, Sakinah mendakwa dia sendiri kadangkala tidak sedar Michael seorang lelaki Barat kerana jiwanya sangat ‘Melayu’ dan pernah menetap di Malaysia.

Menyentuh masalah Gangguan Hiperaktif dan Kurang Tumpuan (ADHD) serta disleksia ringan yang dihidapinya sejak sekian lama, Sakinah mengakui dia kini mencuba untuk tidak bergantung dengan pengambilan ubat-ubatan. Sebolehnya dia mahu mengawal penyakit tersebut secara semula jadi.

MASIH menanggung derita masalah kesihatan mental dialaminya, Sakinah kini cuba belajar untuk mengatasinya dengan menjalani rutin sihat.

“Saya masih lagi bergantung dengan ubat-ubatan untuk rasa tenang. Tetapi kalau tak ambil ubat, saya akan lakukan senaman.

“Kalau boleh saya enggan bergantung pada ubat buat selama-lamanya kerana boleh menjejaskan buah pinggang,” ujar Sakinah.

‘Jangan kutuk lakonan saya’

Diajak berbicara tentang karier seninya sebagai pelakon, pelakon itu mengakui tidak kisah andai penonton menegur malah mengeji penampilannya yang dikatakan tidak cantik.

“Hinalah fizikal atau diri saya, tetapi jangan kutuk bab karier. Cakap saya tidak berdisiplin di set atau berlakon ‘kayu’. Itu benda paling saya takut,” katanya.

Hal ini kerana menurut dramatis yang popular dengan drama Girlfriend Aku Dari Neraka itu, teguran melibatkan kerjayanya membuatkan dia berasa takut sehingga tahap menggigil. Boleh jadi, sampai tidak dapat tidur malam kerana lakonannya dikritik.

TIDAK pernah sunyi daripada kontroversi, namun Sakinah mahu menjalani kehidupan dengan menjadi diri sendiri.

Berkaitan pemilihan watak dalam lakonan pula, Sakinah cuba mengelak daripada memegang watak wanita cantik kerana menganggap dirinya tidak sesuai untuk menjayakannya.

Mencuit sedikit isu penampilan seksinya dalam Instagram sehingga ditegur salah seorang ustaz dalam media sosial, dia menerima teguran tersebut dengan hati terbuka.

“Saya ada pegangan sendiri. Kalau orang marah dan pertikaikan kepercayaan saya, cuba ambil dari sudut positif.

“Saya cuma jadi diri sendiri. Selepas ditegur, mungkin saya akan pakai pakaian yang tertutup sedikit. Tetapi cuma sehari dua sahaja, kemudian saya jadi diri sendiri semula. Jadi faham-fahamlah,” ujar Sakinah menutup kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI