fbpx

[VIDEO] Noor Nabila milik Engku Emran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dengan hanya sekali lafaz, kakak kepada selebriti terkenal Neelofa, Noor Nabila Mohd Noor, 37, selamat menjadi isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin, 46, pagi tadi.

Majlis tersebut berlangsung di sebuah masjid namun tidak dinyatakan lokasinya.

Pasangan itu dinikahkan oleh adik lelaki pengantin perempuan iaitu Mohamed Aqief yang berwakil walikan bapa kandung mereka, Mohd Noor.

Dalam majlis pernikahan serba ringkas itu, Nabila menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin daripada pihak lelaki.

“Alhamdulillah semuanya berjalan serba ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Hanya dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat sekitar 20 ke 30 orang tetamu saja. Kita buat yang wajib saja selain bersederhana. Apa yang penting kami mahukan keberkatan. Kami pun tak merancang nak buat majlis lain selepas ini,” kata Nabila.

Nabila turut menafikan desas desus yang mereka mengikat tali pertunangan seperti digembar gemburkan sebelum ini.

“Memang kami tak bertunang seperti yang disangka. Saya mula mengenalinya sekitar Ogos tahun lalu. Waktu itu kami hanya berkawan.

“Hanya sekitar hujung tahun lalu, kami mula rapat. Malah sama sama berkongsi minat sama termasuk dalam sukan berbasikal,” katanya.

Mengenai suami, Nabila menyifatkan hubungan antara mereka mekar tanpa diduga.

“Kami pernah melalui pengalaman berumah tangga sebelum ini. Jadi masing masing sudah matang dan dah tahu apa yang diinginkan dalam pasangan hidup.

“InsyaAllah kami akan buat yang terbaik dan sentiasa ada untuk satu sama lain,” katanya lagi.

Terdahulu, menerusi perkongsian di InstaStory Neelofa sebentar tadi, pasangan tersebut dilihat sedondon mengenakan persalinan serba putih.

Khabar angin majlis pernikahan Nabila dan Engku Emran akhirnya terjawab selepas adiknya, Ameera Khan memuat naik sekeping foto yang tertulis Walimatul Urus pasangan tersebut pagi tadi.

Hasil tinjauan Kosmo!, perkongsian foto meja makan dihiasi indah dan pelamin yang dimuat naik Ameera dalam Instagramnya turut memberi bayangan majlis akan berlangsung hari ini.

Malah, sekeping kad senarai menu yang terletak di atas meja juga turut tertulis nama Noor Nabila dan Engku Emran di bahagian bawah.

Sekitar dua minggu lalu, nama Nabila dan Emran antara topik hangat yang diperkatakan dalam kalangan netizen dan gosip hubungan mereka juga tersebar hingga ke Indonesia.

Sebelum ini, Nabila dan Emran dikatakan mula rapat selepas sering dilihat melakukan aktiviti berbasikal bersama.

Lebih menguatkan khabar angin tersebut, Emran juga dikatakan sering berkunjung ke kediaman Nabila bagi menyertai sesi usrah bersama ahli keluarga bekas isteri pelakon Sharnaaz Ahmad itu.

Untuk rekod, Noor Nabila pernah mendirikan rumah tangga bersama Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan bercerai secara hakam pada 9 Julai 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia tiga tahun.

Sementara itu, Engku Emran pula pernah mendirikan rumah tangga bersama Erra pada 25 Oktober 2007 dan berpisah pada 18 Februari 2014.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berumur 12 tahun.

Kemudian pada 8 September 2017 dia sekali lagi mendirikan rumah tangga bersama Laudya kemudian bercerai sekitar bulan Jun 2020.

Perkahwinan kedua Emran bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI