fbpx

Pengendali jet ski ditemui lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengendali jetski yang terjatuh di perairan Monkey Beach, Taman Negara Teluk Bahang, Pulau Pinang ditemui lemas.

BALIK PULAU – Pengendali jet ski yang terjatuh ke dalam laut di perairan Monkey Beach, Taman Negara Teluk Bahang semalam ditemui lemas kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang hari ini.

Mayat mangsa, Muhammad Asrul Aswad Hussain, 23, ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira pukul 10.26 pagi selepas misi mencari dan menyelamat dijalankan lebih 15 jam.

Sepupu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Anita Awang, 30, berkata, dia yang tinggal di Sungai Ara dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi saudaranya petang semalam.

“Saya amat terkejut dengan kejadian yang menimpa sepupu saya, setahu saya dia mahir berenang.

“Kami pun telah lama tidak berjumpa kerana saya bekerja di tempat lain dan ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini saya tidak dapat pulang ke kampung,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama rakannya menaiki jetski untuk menyelamatkan dua pelancong yang menyewa jetski di kawasan perairan berkenaan berikutan jetski yang dinaiki mereka terbalik.

Sebaik sahaja dua pelancong itu diselamatkan, rakan mangsa membawa pelancong ke pantai serta meninggalkan mangsa di lokasi kejadian.

Seterusnya rakan mangsa kembali ke lokasi kejadian untuk membawa balik mangsa lalu mendapati mangsa tidak kelihatan di lokasi berkenaan.

Mangsa yang lemas berasal dari Tanjung Dawai, Kedah dan kali terakhir dilihat tidak memakai jaket keselamatan serta tidak berbaju dan hanya berseluar hitam sewaktu kejadian.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Rafiuddin Mass Ariffin berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan kaedah surface searching dengan keseluruhan kekuatan logistik sebanyak lima buah bot daripada JBPM dan juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Kawasan pencarian dibahagikan kepada beberapa kawasan pencarian dan tertumpu di sekitar kawasan mangsa dilaporkan telah terjatuh.

“Pada pukul 10.26 pagi mangsa telah berjaya ditemui pada jarak 150 meter dari persisiran pantai dan dibawa ke Pos Kawalan Bomba (PKB) seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI