fbpx

Cemar Sungai Balak, syarikat makanan didenda RM225,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENCEMARAN sisa minyak hitam dikesan di alur sungai di Jalan KB1/9 Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan dekat Kajang.

KAJANG  – Padah menyebabkan pencemaran di Sungai Balak tahun lalu, sebuah kilang makanan di Kampung Baru Balakong didenda RM225,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan melakuan kesalahan itu.

Kementerian Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor dalam satu kenyataan hari ini berkata, Hakim Mohd. Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman denda itu terhadap syarikat itu selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, syarikat itu didenda kerana melepaskan efluen perindustrian mentah melebihi had piawai ditetapkan di kawasan tadahan air serta melepaskan bahan buangan mengandungi minyak pelincir terpakai ke dalam Sungai Balak pada 28 Oktober tahun lalu.

“OKS dituduh di bawah Peraturan 11 (1) (a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009,” kata kenyataan itu.

Nor Aziah berkata, bagi pertuduhan kedua, syarikat terbabit didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai sepertimana yang telah ditetapkan di bawah Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Sementara pertuduhan ketiga, syarikat itu didapati melepaskan bahan buangan yang mengandungi minyak pelincir terpakai daripada premis ke dalam alur air yang mengalir ke dalam Sungai Balak.

Pertuduhan keempat dan kelima, syarikat didapati gagal patuh kepada spesifikasi sistem pengolahan efluen perindustrian dan gagal maklumkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar mengenai kejadian pembuangan efluen perindustrian secara tidak sengaja ke dalam perairan pedalaman dalam tempoh tidak lebih daripada enam jam.

“Bagi pertuduhan keenam pula, syarikat didapati membuang efluen perindustrian bercampur minyak pelincir terpakai yang tidak terlarut campur dengan air ke dalam perairan pedalaman,” ujarnya.

Bagi setiap pertuduhan itu jika disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI