fbpx

Tiga beranak lemas: Bapa saudara suka bantu orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arif Fadzil (gambar kecil) bersama dua orang anaknya masing-masing berusia sembilan dan enam tahun dilaporkan lemas di Sungai Balak, Batang Kali, tengah hari tadi.

HULU SELANGOR – Bapa kepada tujuh anak yang dilaporkan lemas di Sungai Balak berdekatan Jalan Genting Lama Batang Kali, di sini, hari ini disifatkan sebagai insan yang suka membantu orang lain.

Menurut anak saudara Arif Fadzil Abdul Salleh, 43, yang ingin dikenali sebagai Amira, 26, kali terakhir dirinya bertemu Allahyarham adalah pada minggu pertama Syawal lalu.

“Pak cik merupakan anak nombor tiga daripada sembilan adik beradik. Saya mengenali Allahyarham sebagai seorang yang periang dan ringan tulang bantu orang lain.

“Sebenarnya Allahyarham baru sahaja bertemu bertemu dengan nenek dan ibu saya pada Rabu lalu ketika menziarahi orang sakit di Kuantan, Pahang.

“Allahyarham menetap di Kuala Lipis tapi sering berulang-alik ke sini kerana mempunyai sebuah rumah singgah,” katanya ketika dihubungi Kosmo.

Terdahulu, media melaporkan seorang bapa dan dua anaknya (perempuan, sembilan tahun dan lelaki, enam tahun) disahkan meninggal dunia selepas lemas ketika bermandi-manda di Sungai Balak, Batang Kali, tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 1.09 tengah hari tadi.

Semua mangsa dijumpai pada pukul 1.35 petang pada jarak 30 meter dari lokasi mereka lemas.

Ujar Amira, ketika kejadian, difahamkan isteri mangsa sedang menjaga bayi yang merupakan anak bongsu mereka berhampiran sungai tersebut sebelum menyaksikan tragedi lemas itu di depan mata.

Dalam pada itu Amira berkata, mereka sekeluarga sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital sebelum membawa pulang ketiga-tiga jenazah untuk dikebumikan.

“Sekarang ketiga-ketiga jenazah baru sahaja sampai di Hospital Kuala Kubu Baharu sekitar pukul 4.30 petang tadi.

“Insya-Allah, Allahyarham pak cik dan dua lagi anaknya itu akan dikebumikan di Kuala Lipis seawal mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan jenazah Arif Fadzil dan dua anak, Damia Arif Fadzil, 9, dan Abdul Malik Arif Fadzil, 6, kini sedang dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Baharu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melakukan aktiviti riadah bersama ahli keluarganya.

“Kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh anak perempuan mangsa (Damia) telah tergelincir ke dalam sungai dan bapanya cuba untuk menyelamatkan anak perempuannya itu.

“Pada masa yang sama, anak lelakinya (Abdul Malik) turut terjun ke dalam sungai tanpa disedari oleh ibunya menyebabkan semua mangsa telah lemas di dalam sungai tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, semua mangsa telah dijumpai oleh orang awam pada pukul 1.30 tengah hari dan dibawa naik ke tepi sungai sementara menunggu pihak ambulans untuk memeriksa keadaan mangsa.

“Pada pukul lebih kurang 2.25 petang, ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Kubu Baharu dan dibawa ke forensik untuk tindakan lanjut.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI