fbpx

727 tapak bazar Ramadan disediakan MPSepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan

SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyediakan sebanyak 727 tapak bazar Ramadan di bawah kawasan MPSepang untuk peniaga beroperasi sempena kedatangan bulan puasa, pertengahan April depan.

Antara tapak bazar Ramadan tersebut adalah di Cyberjaya; Desa Pinggiran Putra; Taman Mas; Sungai Merab; Taman Ambar; Dengkil Jaya; Sungai Pelek; Sepang Putra dan Kipmall Kota Warisan selain di Taman Putra Perdana; Salak; Pekan Dengkil dan Kosmopleks.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, setakat petang semalam, MPSepang telah menerima sebanyak 400 permohonan daripada peniaga selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri beroperasi di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan dijalankan secara menyeluruh di kesemua bazar Ramadan bawah MPSepang.

“Pihak majlis turut menetapkan kriteria kepada peniaga iaitu mereka adalah warganegara Malaysia dan perlu mengemukakan salinan suntikan typhoid dan kursus pengendalian makanan.

“Peniaga juga boleh memilih untuk berniaga di satu tapak sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain itu, Abd. Hamid berkata, untuk kawalan SOP, pihak majlis telah merangka tiga cadangan bagi memenuhi keperluan SOP iaitu bazar Ramadan beroperasi sepenuhnya dengan penjarakan satu meter antara meja jualan dan kawalan pengunjung dibuat oleh MPSepang dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) termasuk saringan di pintu masuk.

“Cadangan kedua pula ialah bazar Ramadan beroperasi dengan kapasiti separuh daripada jumlah petak sedia ada dengan kawalan penjarakan satu meter antara meja jualan dan kawalan pengunjung sama seperti yang dinyatakan.

“Cadangan ketiga ialah bazar Ramadan beroperasi secara penggiliran dengan kapasiti separuh daripada jumlah petak sedia ada dengan kawalan penjarakan satu meter antara meja jualan dan kawalan pengunjung daripada MPSepang dan anggota RELA termasuk saringan di pintu masuk,” katanya.

Katanya, cadangan-cadangan itu bagaimanapun adalah tertakluk sepenuhnya ke atas SOP yang akan dikuatkuasakan oleh MKN dan kerajaan negeri Selangor.

Dalam pada itu, katanya, MPSepang juga masih dalam perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mewujudkan satu online e-kitchen jika bazar Ramadan tidak dibenarkan namun kriteria masih bergantung kepada keadaan semasa.

“Permohonan telah dibuka bermula semalam (kemarin) sehingga 26 Mac depan secara dalam talian dan setiap permohonan masih tertakluk kepada sebarang arahan daripada MKN, KKM dan kerajaan negeri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI